Oleh: Dr Harnani Mat Zin
Kuala Lumpur, 11 April 2025 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama felo penyelidik NCDRC dalam usaha memperkukuhkan pelaporan dan penggunaan data daripada Sistem Pangkalan Data Kanak-Kanak Kebangsaan (NCDC).
Dua orang felo penyelidik yang baru dilantik iaitu Profesor Rohana Jani dan Dr Alias Abd Aziz merupakan pakar dalam bidang statistik dan data analitik.
Pertemuan dan perbincangan yang telah berlangsung lebih 2 jam ini telah membincangkan pelbagai perkara khususnya berkaitan perkembangan kanak-kanak di Malaysia.
Sesi ini bertujuan untuk menyelaras keperluan pelaporan sistem NCDC secara lebih sistematik serta mengenal pasti peluang bagi membentangkan penemuan dan dapatan data di pelbagai platform ilmiah, forum kebangsaan dan antarabangsa, dan sebagainya.
Perbincangan melibatkan perkongsian idea dan cadangan strategik daripada para felo penyelidik mengenai cara terbaik untuk memperluas impak data NCDC dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, serta penggubalan dasar berasaskan bukti.
Menurut Pengarah NCDRC, Profesor Madya Dr Mazlina Che Mustafa, sesi ini adalah satu langkah penting ke arah memperkemas pelaporan NCDC agar lebih komprehensif dan berdaya guna.
“Data yang dikumpulkan melalui sistem NCDC bukan sahaja penting dalam menilai tahap perkembangan kanak-kanak secara berterusan, malah berpotensi besar dalam menyumbang kepada wacana ilmiah serta pembentukan akta dan polisi negara,” katanya.
Antara topik yang turut disentuh termasuklah keperluan standardisasi laporan, kaedah pelaporan data dan output yang negatif, serta penyediaan platform untuk penyelidik berkongsi hasil kajian mereka kepada masyarakat secara lebih meluas.


Felo penyelidik luar yang baru dilantik, Profesor Dr Rohana menyatakan rasa gembira di atas pelantikan ini. Beliau berbesar hati untuk dapat menyumbangkan kepakaran yang dimiliki untuk membantu pihak NCDRC melaporkan data 10 tahun yang telah dikumpulkan melalui sistem NCDC.
NCDRC turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong para felo penyelidik dalam meneroka peluang penyelidikan dan penerbitan yang berteraskan data sistemik, sejajar dengan misi pusat dalam memperjuangkan kesejahteraan dan perkembangan pendidikan menyeluruh kanak-kanak di Malaysia.


Sesi ini diakhiri dengan cadangan perbincangan lanjutan secara lebih mendalam untuk meneliti mekanisme pelaporan serta strategi pembentangan data NCDC secara berperingkat.
