Oleh : Esmerallda Welfread dan Pn. Siti Nadiah Halimah Md Shah
TANJONG MALIM, 16 April 2025 – Suasana kemeriahan Syawal diraikan dengan penuh semangat melalui penganjuran program UKLK Syawal Fun Walk yang berjaya menarik seramai 150 peserta, terdiri daripada orang awam, pelajar, dan staf Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.
Program ini telah dianjurkan oleh Exco Keusahawanan Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) dan berlangsung dengan jayanya di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Ia merupakan salah satu inisiatif untuk mengeratkan hubungan antara warga UPSI dan komuniti setempat, di samping menyemarakkan lagi semangat Hari Raya Aidilfitri.


Peserta menyertai sesi berjalan santai sambil menikmati pelbagai juadah raya yang disediakan di tiga stesen makanan menarik sepanjang laluan.
Kemeriahan jelas terpancar melalui gelak tawa dan semangat kebersamaan para peserta sepanjang program. Rata-rata peserta menyambut baik inisiatif ini dan berharap agar ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
Penganjuran program ini menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang relevan antaranya SDG 3: Good Health and Well-being (Kesihatan dan Kesejahteraan) – Program berjalan santai menyokong gaya hidup sihat dan kesejahteraan fizikal dan mental, SDG 11: Sustainable Cities and Communities (Bandar dan Komuniti Mampan) – Menggalakkan integrasi sosial antara warga kampus dan komuniti setempat dan SDG 17: Partnerships for the Goals (Perkongsian untuk Matlamat) – Kolaborasi antara pelajar, pentadbiran, dan masyarakat dalam menjayakan program ini.


Menurut Pengetua UKLK, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob yang turut serta dalam acara tersebut, “Saya sangat berbangga dengan inisiatif MMKLK.
“Program ini bukan sahaja memeriahkan suasana Syawal, tetapi juga mencerminkan semangat perpaduan dan tanggungjawab sosial yang tinggi. Ia selari dengan komitmen UPSI terhadap matlamat untuk menyantuni masyarakat setempat.”
Secara keseluruhannya, UKLK Syawal Fun Walk bukan sahaja berjaya memupuk gaya hidup sihat, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat dalam suasana yang ceria dan penuh makna.
