Oleh : Nur Asyiqin Zainon
TANJONG MALIM, 19 APRIL – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) menganjurkan program Lawatan Kerjaya SMK Tekek Bersama Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) yang berlangsung pada 17 hingga 19 April 2025 bertempat di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS).
Program selama tiga hari ini telah memberi peluang kepada para pelajar untuk merasai sendiri suasana pembelajaran dan kehidupan di institusi pengajian tinggi, selain mendapat pendedahan awal mengenai laluan kerjaya dan semangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Seramai 34 orang pelajar dan 4 orang guru pengiring daripada SMK Tekek telah menyertai program ini yang dirangka dengan pelbagai pengisian menarik dan bermakna oleh barisan Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) yang bertindak sebagai fasilitator dan urusetia program.
Aktiviti seperti lawatan kampus, bengkel motivasi dan sesi perkongsian pengalaman menjadi tarikan utama sepanjang program berlangsung.
Program ini dijalankan berdasarkan pendekatan tiga fasa utama yang telah digariskan oleh pihak penganjur:
- Fasa Pertama: Memupuk kesedaran tentang kepentingan mengintegrasikan nilai-nilai Islam dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.
- Fasa Kedua: Meningkatkan keyakinan diri dan motivasi pelajar melalui interaksi akademik serta jalinan bersama mahasiswa UPSI.
- Fasa Ketiga: Memperluas jaringan kerjasama antara sekolah dan institusi pengajian tinggi demi pembangunan pelajar secara holistik.
Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob di dalam ucapan perasmiannya turut mengambil peluang memperkenalkan UPSI sebagai salah satu universiti pendidikan terulung di Malaysia, yang menjadi pilihan utama para pendidik pada masa hadapan.
“UPSI bukan sahaja melahirkan golongan pendidik berkualiti, malah turut memainkan peranan besar dalam membentuk pemimpin dan warga berilmu. Saya berharap kunjungan ini dapat membuka mata dan hati adik-adik pelajar untuk meletakkan pengajian tinggi sebagai satu matlamat hidup,” ujar beliau.
Para pelajar berasa teruja mengikuti sesi “Campus Tour’ yang memperkenal pelbagai fasiliti dan kemudahan yang terdapat di UPSI. Melalui interaksi santai bersama mahasiswa, pelajar diberi ruang untuk bertanya dan mendapat gambaran sebenar tentang perjalanan sebagai pelajar universiti.
Impak positif program ini nyata dirasai menerusi penglibatan aktif para pelajar serta peningkatan tahap motivasi mereka sepanjang program berlangsung. Rata-rata peserta meluahkan rasa teruja dan lebih berinspirasi untuk melanjutkan pengajian ke menara gading suatu hari nanti. Guru-guru pengiring turut memuji pendekatan mesra dan tersusun yang ditampilkan oleh mahasiswa UPSI, yang berjaya memberi pencetus kepada minda dan semangat para pelajar.



Majlis penutup yang diadakan di Bitarasiswa turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan daripada Puan Nor Hayati Aziz selaku felo penasihat program ini kepada guru pengiring sebagai tanda penghargaan dan kenangan atas penyertaan mereka menyertai program ini.
Secara keseluruhannya, program ini telah berlangsung dengan jayanya dan mencapai objektif yang digariskan. Melalui penganjuran program seperti ini, diharapkan agar hubungan strategik antara UPSI dan SMK Tekek dapat terus diperkukuh pada masa hadapan, sekaligus memperluas akses dan kesedaran terhadap pendidikan tinggi dalam kalangan pelajar luar bandar.
