Oleh: Nurfatihah Nor Isham
TANJONG MALIM, 14 MEI 2025 – Seramai 34 orang peserta yang terdiri daripada Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, Pengarah Pusat Islam UPSI, Encik Mohd Tarmizi Abd Rahman, Pengetua Kolej Za’ba, Encik Yusop Ahmad, wakil Majlis Persatuan Pelajar (MPP), Wan Nurain Safra Wan Jama Anasir, 4 orang felo dan seorang staf UKLK, serta 25 orang Majlis Mahasiswa Kolej Luar Kampus (MMKLK) telah menyertai program lawatan ilmiah antarabangsa selama empat hari ini yang berlangsung di Singapura.
Program ini dianjurkan oleh UKLK UPSI sebagai inisiatif memperkasa pembangunan sahsiah dan akademik mahasiswa melalui pendedahan langsung kepada budaya dan sistem pendidikan luar negara.



Antara objektif utama program ini termasuk melahirkan peserta yang mempunyai kemahiran interkomunikasi dan silang budaya, selain memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) peserta melalui perbandingan kursus dan pendekatan pendidikan antara dua institusi dari dua negara berbeza.
Dengan kata lain, program ini menjadi jambatan kepada pertukaran ilmu, pengalaman dan nilai kemanusiaan antara mahasiswa Malaysia dan masyarakat luar.



Sepanjang program, peserta telah mengikuti aktiviti eksplorasi ilmiah di beberapa lokasi di Singapura seperti Sentosa Island, Masjid Sultan Temenggong, dan Art Science Museum.
Lokasi-lokasi ini dipilih kerana nilai akademik dan budayanya yang tinggi, di samping dapat memberikan peserta pendedahan secara menyeluruh terhadap perkembangan teknologi, seni dan budaya negara jiran.



Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada pembentukan nilai insaniah dalam diri peserta melalui kerjasama strategik bersama Jamiyah Islamic Centre dan Jamiyah Nursing Home yang terletak di Geylang, Singapura.
Sepanjang kunjungan ke institusi-institusi ini, peserta telah terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti yang menyentuh aspek kemasyarakatan dan khidmat sosial.



Di Jamiyah Islamic Centre, peserta dideahkan dengan peranan institusi Islam dalam membantu komuniti, serta melibatkan diri dalam program Foodbank yang bertujuan membantu golongan memerlukan.
Dalam aktiviti ini, peserta telah melakukan aktiviti memasukkan dan membungkus barangan keperluan asas seperti makanan kering dan barangan harian untuk diagihkan kepada penerima bantuan.
Sementara itu, di Jamiyah Nursing Home, peserta mengambil bahagian dalam aktiviti santun bersama warga emas yang dijalankan dengan penuh mesra dan prihatin.


Antara aktiviti yang dijalankan termasuk memotong kuku warga emas, memberi potongan rambut secara sukarela, serta bermain permainan ringan dan interaktif bersama mereka bagi menceriakan suasana.
Aktiviti-aktiviti ini telah memberikan peserta pengalaman secara langsung dalam menyantuni golongan yang memerlukan perhatian dan kasih sayang.
Ia bukan sahaja mendidik peserta untuk lebih peka terhadap keperluan komuniti, malah berjaya menyemai nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam diri mereka.
Secara tidak langsung, pengalaman ini menyumbang kepada pembentukan pelajar yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sahsiah, sejajar dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan yang holistik dan berjiwa masyarakat.
Program ini diakhiri dengan lawatan ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di mana para peserta telah mengikuti sesi perbincangan kepimpinan luar kampus bersama wakil universiti tersebut. Perbincangan ini memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi idea dan mendapatkan pandangan baharu berkaitan pengurusan pelajar luar kampus.
Selain itu, lawatan ini juga membantu mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara UPSI dan UTHM, khususnya dalam aspek pembangunan pelajar termasuk kebajikan pelajar yang tinggal di luar kampus dan hal ehwal institusi pengajian tinggi.
Secara keseluruhan, Empire Journey 5.0 bukan sekadar sebuah lawatan ilmiah ke luar negara, tetapi merupakan satu platform berimpak tinggi yang memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah dan pembangunan holistik mahasiswa.
Program ini telah berjaya menyatukan elemen akademik, budaya dan kemasyarakatan dalam satu pengalaman yang menyeluruh, sekali gus memperkasa pelajar dari segi intelek, emosi dan sosial.
Pendedahan kepada suasana pembelajaran antarabangsa, interaksi silang budaya, serta penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan membolehkan peserta membina jati diri yang kukuh, meningkatkan kemahiran komunikasi, dan mengukuhkan semangat kepemimpinan serta kesukarelawanan.
Keseluruhan impak ini adalah selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah seimbang, berdaya tahan, berpikiran global, dan mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.
