Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki bergambar bersama para peserta program MESRA: International Volunteering Programme (IVP) 2.0 sempena majlis penutupan yang diadakan di Kampung Jong, Perak

Oleh: Bazli Razak

GERIK, 22 Mei – Seramai 62 peserta dari 15 negara termasuk Malaysia menyertai program MESRA: International Volunteering Programme (IVP) 2.0 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampung Jong, dekat sini.

Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika merasmikan program itu berkata penyertaan peserta dalam program berkenaan memberi peluang untuk mendekati masyarakat kampung, memahami budaya tempatan serta membina hubungan kekeluargaan yang erat bersama keluarga angkat masing-masing.

“Walaupun tempoh program ini singkat, saya percaya hubungan yang terjalin antara peserta dan keluarga angkat akan kekal menjadi kenangan sepanjang hayat. Saya menghargai inisiatif UPSI dalam menganjurkan program berimpak seperti ini,” katanya.

Program selama tiga hari dua malam itu dianjurkan oleh Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) UPSI dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak; Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan, Usahawan dan Koperasi Negeri Perak; Majlis Amanah Rakyat (MARA); Dr. Dobi; Bless Cloating & Paints Sdn Bhd; serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Jong.

Pengetua UKLK UPSI, Prof Madya Dr Che Ghani Che Kob program MESRA: International Volunteering Programme (IVP) 2.0 di Kampung Jong, Perak
Pengarah program, Felicia Buah Jepri ketika memberi ucapan
Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berucap sempena program MESRA: International Volunteering Programme (IVP) 2.0 di Kampung Jong, Perak

Sementara itu, Pengetua UKLK UPSI, Prof Madya Dr Che Ghani Che Kob berkata IVP 2.0 merupakan kesinambungan daripada penganjuran tahun lepas yang turut menerima sambutan positif daripada penduduk kampung dan peserta.

“Program ini berperanan memupuk semangat kesukarelawanan, kekeluargaan serta pertukaran budaya dalam kalangan peserta tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Pengarah program, Felicia Buah Jepri berkata aktiviti sepanjang program merangkumi gotong-royong, sukan, aktiviti kebudayaan dan memasak secara bergotong-royong.

“Matlamat utama adalah untuk menggalakkan kerjasama antara pelajar antarabangsa dan tempatan dalam menjayakan program khidmat masyarakat, selaras dengan hasrat Naib Canselor agar UPSI terus menjadi universiti yang dihormati dan relevan dalam kalangan komuniti,” katanya.

Peserta antarabangsa dari Uzbekistan, Dildora Sharapova menyifatkan penyertaannya dalam program berkenaan sebagai pengalaman yang bermakna.

“Ini kali pertama saya menyertai aktiviti rewang dan tinggal bersama keluarga angkat. Saya sangat menghargai layanan baik yang diberikan oleh masyarakat Kampung Jong,” katanya.

Antara institusi pengajian tinggi lain yang turut serta ialah Universitas Muhammadiyah Mahakarya Aceh (Indonesia), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Multimedia (MMU).