Oleh: Anis Najwa Anuar
Tanjong Malim,26 April 2025– Langit yang cerah tidak selamanya tenang. Itulah antara mesej penting yang dibawa dalam World Meteorological Day Forum: The Sciences of Tomorrow’s Weather anjuran Exco Akademik dan Kerjaya, Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) UPSI, yang berlangsung secara dalam talian pada 26 April 2025. Forum ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran terhadap peranan meteorologi dalam kelestarian alam dan keselamatan manusia, sejajar dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan mahasiswa yang menepati elemen BITARA, khususnya dalam Adab, Akhlak dan Akademik.
Program berstatus kebangsaan ini berlangsung menerusi Cisco Webex dan Facebook Live, menghimpunkan hampir 254 peserta dari UPSI, USM, UPM dan UiTM Seremban. Melalui penglibatan aktif ini, forum ini juga menyokong Dasar Pendidikan Tinggi Negara (KPT) 2025 yang menekankan Pemerkasaan Modal Insan Berdaya Saing, dengan membentuk graduan berpengetahuan, beretika dan peka terhadap cabaran global.


Forum selama dua jam ini membuka tirainya dengan pengenalan kepada dunia meteorologi, iklim dan geofizik, bukan juga sekadar sebagai teori sains, tetapi sebagai satu elemen penting dalam kehidupan seharian dan pemeliharaan ekosistem. Dua panel jemputan iaitu Profesor Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim dan Azrina Sobian, masing-masing membawa perspektif akademik dan spiritual dalam memahami peranan data cuaca dalam meminimalkan risiko bencana.
Majlis turut dirasmikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Bahiyah Abd Wahid, penasihat Kelab Rakan Alam Sekitar yang menekankan pentingnya penglibatan mahasiswa dalam isu-isu alam sekitar agar kesedaran ini tidak tinggal sebagai teori semata-mata. “Kita mahu mahasiswa yang bukan hanya cemerlang di dewan kuliah, tetapi juga cakna dengan cabaran global,” ujar beliau. Menurut beliau, mahasiswa perlu dididik tentang pentingnya pencegahan bencana melalui pendekatan saintifik yang berteraskan nilai etika dan agama. “Kita bukan sekadar mahu melahirkan ilmuwan, tetapi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab terhadap bumi dan masyarakat,” ujarnya. Apa yang menjadikan forum ini istimewa adalah keseimbangan antara fakta saintifik dan nilai kemanusiaan. Dengan pendekatan yang holistik, peserta bukan sahaja diajak untuk memahami ‘apa itu cuaca’, tetapi juga untuk menyedari tanggungjawab bersama dalam mendepani perubahan iklim.
Dengan pendekatan holistik, forum ini berjaya menggabungkan fakta saintifik dan nilai kemanusiaan, seiring dengan prinsip SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim, dengan menyeru peserta untuk mengambil peranan aktif dalam usaha menangani pemanasan global. Para peserta bukan hanya memahami konsep cuaca dan iklim, tetapi turut didedahkan dengan tanggungjawab moral dalam menjaga bumi demi generasi akan datang.
Forum ini turut diserikan dengan perkongsian ilmiah dari panel yang masyhur dalam bidang meteorologi dan diterapkan juga kuiz interaktif, serta sesi soal jawab. Aktiviti-aktiviti ini dapat menyokong pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan etika profesional dalam kalangan peserta. Walaupun bersiaran secara maya, semangat ingin tahu dan semangat kerjasama tetap dirasai sepanjang berlangsungnya program ini. Dengan tema “The Sciences of Tomorrow’s Weather,” forum ini menjadi platform strategik dalam menyatukan mahasiswa pelbagai latar akademik untuk membincangkan isu-isu global secara intelektual, selaras dengan komitmen UPSI dalam menerajui agenda pendidikan lestari.
Dengan berakhirnya forum ini, satu perkara menjadi jelas, meteorologi bukan hanya untuk pakar cuaca, tetapi untuk semua yang bergantung kepada langit, udara dan bumi. Dan itu bermakna, ia untuk kita semua.
