Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail dan Creasia Sherlly Jounie

Tanjong Malim, 21 Mei 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) khususnya Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusian (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil langkah proaktif dalam menyemai kesedaran terhadap masyarakat dengan menganjurkan program Green Legacy yang berlangsung pada 21 Mei lalu. Program ini memberi fokus kepada isu penyederhanaan suhu dan kepentingan penanaman pokok terutamanya khususnya di daerah Muallim.

Program ini telah dimulakan dengan slot pertama iaitu Forum: Penyederhanaan Suhu di Daerah Muallim yang menampilkan dua orang panelis iaitu Khairul Naim Yaakub, Pegawai Hutan Daerah Perak Selatan dan Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail, Pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, FSK.

Forum ini secara ringkasnya membincangkan peranan pokok dan kawasan hijau dalam menangani kesan perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. Khairul Naim menyatakan bahawa hutan mempunyai pelbagai fungsi kepada masyarakat sekeliling antaranya kawasan tadahan air dan menjadi pusat menyederhanakan suhu sekitar. Menurutnya, “Hutan mempunyai pelbagai fungsi kepada masyarakat sekeliling antaranya kawasan tadahan air dan menjadi pusat menyederhanakan suhu sekitar.”

Seterusnya,  aktiviti penanaman pokok dilakukan di sekitar Padang Istiadat, Kampus Sultan Azlan Shah. Aktiviti ini melibatkan penglibatan aktif para pelajar, pensyarah, serta komuniti luar iaitu pelajar dari Sekolah Kebangsaan Proton City dan serta kakitangan Jabatan Perhutanan Perak Selatan. Lebih daripada 25 pokok telah disumbangkan daripada Jabatan Hutan dan ditanam sebagai simbolik kepada komitmen bersama terhadap kelestarian alam sekitar.

Program Green Legacy ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar kursus Kaji Iklim (HGF3073) di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim, Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail, Pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, FSK. Penerapan kepada perlunya kita menjaga alam bukan sahaja didedahkan kepada pelajar universiti bahkan kepada anak-anak yang masih muda di peringkat sekolah rendah.

Penganjuran program ini merupakan cerminan usaha pendidikan tinggi dalam membina mahasiswa bersama masyarakat yang berpengetahuan dan bertindak balas terhadap cabaran iklim semasa. Kerjasama antara institusi pengajian, agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam menjayakan program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif hijau di masa hadapan dan menyumbang ke arah bandar yang lebih sejuk, sihat dan mampan.

Di samping memberi kesan positif terhadap pengurangan suhu persekitaran, usaha penanaman pokok dan aktiviti pendidikan berasaskan alam sekitar juga mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti udara, kesejahteraan masyarakat, serta memperindah landskap kawasan bandar secara menyeluruh. Ini juga menunjukkan satu tindakan yang tepat iaitu bercakap dengan tindakan dalam satu masa yang sama.

Penganjuran program ini dilihat sebagai satu langkah proaktif ke arah menjadikan daerah Mualim sebagai bandar yang lebih sejuk dan wajar diteruskan sebagai sebahagian daripada pendekatan holistik dalm menghadapi cabaran perubahan iklim global.