Oleh : Amalina Syuhaila Mohd Salim, Muhammad Saufi Abdullah & Ummikalsum Mat Lazim
Taiping, 18 Mei 2025 – Program Zooventures: Into The Wild telah berjaya dianjurkan dengan penuh semangat kesukarelawanan oleh Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPPTI), Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini merupakan hasil kerjasama bersama inisiatif V-FSK4U serta penglibatan aktif Mahasiswa Sains Pertanian.
Seramai 80 orang mahasiswa UPSI terdiri daripada pelbagai fakulti telah menyertai program khidmat masyarakat bertajuk Zooventures: Into The Wild yang berlangsung di Zoo Taiping & Night Safari, Perak. Program telah berjaya menghimpunkan mahasiswa daripada tujuh fakulti utama, termasuk Fakulti Sains Kemanusiaan (38 orang), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (13 orang), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (18 orang), Fakulti Pembangunan Manusia (5 orang), Fakulti Sains dan Matematik (3 orang), Fakulti Teknikal dan Vokasional (3 orang).


Program ini memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman beramal dengan alam ciptaan Allah SWT melalui aktiviti pembersihan zoo serta interaksi langsung dengan haiwan dan tumbuhan. Peserta didedahkan dengan penjagaan haiwan, diet pemakanan dan usaha pemuliharaan, sambil mentadabbur kebesaran Allah melalui ayat-ayat kauniyyah. Pengalaman ini memupuk rasa amanah, tanggungjawab, dan kasih sayang terhadap makhluk Allah, selaras dengan ajaran Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam.


Menurut Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat, Ustazah Ummikalsum, kesungguhan sukarelawan menunjukkan nilai kerjasama, keprihatinan, dan tanggungjawab sosial. Program ini bukan sahaja membersihkan zoo, malah menyemai kesedaran pemuliharaan alam. Pengalaman ini membantu melahirkan mahasiswa yang kalis masa depan, bertanggungjawab dan peka terhadap cabaran global.
Melalui ucapan Pengarah Program, Amalina Syuhaila Mohd Salim menyatakan kesungguhan para sukarelawan dalam melaksanakan aktiviti sepanjang program jelas membuktikan bahawa nilai murni seperti kerjasama, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam generasi muda. Program ini bukan sahaja membersihkan dan menceriakan semula kawasan zoo, bahkan turut menyemai semangat kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar serta kepentingan ekosistem yang seimbang untuk kelangsungan hidup haiwan.

Penganjuran program ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), khususnya SDG 3: Kehidupan Sihat dan Kesejahteraan, yang dipromosikan melalui aktiviti fizikal yang menyeronokkan dalam suasana santai namun bermakna. Program ini juga menyokong SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat, dengan memperkukuh kerjasama antara pelbagai pihak. Selain itu, inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha melahirkan mahasiswa yang kalis cabaran dan berdaya saing di peringkat global, serta seiring dengan hasrat UPSI untuk memupuk mahasiswa holistik yang berwawasan dan berintegriti tinggi.
Pihak pengurusan Zoo Taiping turut menyatakan penghargaan dan rasa terima kasih atas kerjasama yang ditunjukkan oleh semua peserta dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan secara berterusan. Secara keseluruhannya, program “Zooventures: Into The Wild” berjaya mencapai objektifnya sebagai program yang melibatkan tanggungjawab sosial dan memberi kesan yang positif. Semoga program kesukarelawanan seperti ini terus mendapat sokongan dan sambutan yang memberangsangkan demi kelestarian alam sekitar.
