Tanjong Malim – Alan Tan Khee Sheng, seorang pelajar berbakat dalam bidang Kejuruteraan Perisian dari Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (META) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Kebangsaan Microsoft Office Specialist (MOS) Malaysia 2025.

Pencapaian cemerlang ini telah melayakkan beliau untuk mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat dunia, Microsoft Office Specialist World Championship 2025.

MOS World Championship, yang dianjurkan oleh Certiport, merupakan pertandingan antarabangsa yang menguji kemahiran pelajar dalam penggunaan aplikasi Microsoft Office seperti Word, Excel, dan PowerPoint.

Alan Tan Khee Sheng (tengah) bergambar bersama pemenang dan penganjur

Setiap peserta akan mewakili negara masing-masing untuk bersaing dalam tugasan berasaskan masa yang mencabar serta menunjukkan kecekapan, ketelitian dan kemahiran pengurusan maklumat menggunakan perisian Microsoft Office.

Kecekapan Alan dalam aplikasi PowerPoint telah membolehkannya menempatkan diri dalam kalangan terbaik di Malaysia dan kini bersedia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Kejohanan Kebangsaan MOS Malaysia merupakan sebahagian daripada program tahunan Kejohanan Kebangsaan Adobe Certified Professional dan Microsoft Office Specialist Malaysia 2025 yang dianjurkan oleh Creative Cloud Community (CCC).

Pertandingan ini terbuka kepada belia berumur 13 hingga 22 tahun dari pelbagai institusi pendidikan menengah dan tinggi di seluruh negara.

Tahun ini, pertandingan berlangsung dengan semangat persaingan yang sengit dan disertai lebih 2,000 pelajar.

Dalam peringkat kebangsaan, Alan Tan Khee Sheng berjaya mengungguli cabaran teknikal dan kreatif dengan memperoleh tempat ketiga dalam kategori PowerPoint.

Beliau dibimbing oleh Encik Ahmad Nurzid Rosli dari Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, yang memainkan peranan penting dalam memberikan panduan, strategi, dan sokongan teknikal sepanjang proses latihan dan pertandingan.

Kemenangan ini bukan sahaja membuktikan kecekapan luar biasa Alan dalam penggunaan Microsoft Office, malah menonjolkan keupayaan UPSI sebagai sebuah institusi yang mampu melahirkan bakat digital bertaraf dunia.

Penyertaan Alan ke peringkat dunia pada 25 hingga 31 Julai 2025 di Orlando, Florida, USA menjadi simbol kejayaan pendidikan berteraskan teknologi dan kemahiran abad ke-21 yang diterapkan di UPSI.

Menariknya, Alan turut dijemput sebagai penceramah jemputan semasa majlis pertandingan berlangsung untuk berkongsi pengalaman dan inspirasi berdasarkan kejayaannya terdahulu sebagai pemenang tempat ke-7 dunia dalam Adobe Certified Professional (ACP) World Championship 2024.

Perkongsian beliau telah memberi semangat dan motivasi kepada peserta lain untuk terus cemerlang dalam bidang kemahiran digital.

Seluruh warga UPSI dan rakyat Malaysia pastinya akan terus memberi sokongan padu kepada Alan dengan harapan agar kejayaan lebih gemilang dapat dilakar di pentas dunia.