Tanjung Malim, 31 Mei 2025 – Kehangatan semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan terpancar menerusi Program Sentuhan Kasih Bitara yang berlangsung dengan penuh makna di Surau Khairiah Taman Hijau, Dewan KRT Ketoyong serta beberapa buah rumah warga emas dan individu memerlukan sekitar Ketoyong dan Kampung Lubuk Salak, Tanjong Malim.

Program yang diterajui oleh Persatuan Kejuruteraan Perisian (PKP), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META) ini dikendalikan dengan penuh dedikasi oleh Pengarah Program, Shafiena Usri. Ia turut mendapat sokongan padu daripada Surau Khairiah Taman Hijau, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ketoyong, Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) serta Kelab Istimewa Mahasiswa UPSI (I-MUPC).

Lebih daripada sekadar aktiviti komuniti, program ini menyaksikan penyertaan 40 orang mahasiswa yang tampil sebagai sukarelawan yang membawa bersama hati yang ingin memberi dan tangan yang ringan menghulur. Mereka terlibat dalam kerja-kerja pembersihan, penjagaan diri warga emas, OKU dan pesakit kronik, di samping menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas dan sokongan moral kepada empat keluarga asnaf terpilih.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Mohd Fadhil Harfiez Bin Abdul Muttalib, Pensyarah Kanan META yang mewakili Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Dalam ucapannya yang menyentuh hati, beliau menekankan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial yang bukan hanya cemerlang di bilik kuliah, tetapi juga prihatin terhadap nasib masyarakat sekeliling.

“Sentuhan dalam program ini bukan sekadar simbolik. Ia adalah lambang kasih sayang, empati dan pengorbanan tangan-tangan mahasiswa yang turun padang membantu mereka yang memerlukan. Inilah nilai kemanusiaan sebenar yang kita ingin semai,” katanya.

Turut memberikan kata-kata semangat ialah YBrs. Ustaz Azizi Bin Mohamad Husin, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UPSI yang menyatakan harapan agar sumbangan kecil daripada WEZAS UYPSI menjadi pencetus kepada lebih banyak program kebajikan sebegini. Sementara itu, YBrs. En. Nor Azmee bin Hj Abd Rahman, Pengerusi Surau Khairiah, menyambut baik inisiatif ini dan berharap program seumpama ini akan diteruskan dengan skala yang lebih besar pada masa akan datang.

Sebaik selesai ucapan perasmian, aktiviti gotong-royong dimulakan serentak di lima lokasi termasuk surau, dewan komuniti serta tiga buah rumah warga emas. Dalam masa yang sama, Puan Rohaizah binti Abdul Wahid selaku Penasihat PKP bersama beberapa orang AJK program mengunjungi empat keluarga asnaf untuk menyerahkan sumbangan berupa lampin dewasa, kerusi roda, tongkat dan bantuan kewangan.

 
 
AJK dan sukarelawan bergotong-royong membersihkan kawasan kediaman warga tua berkeperluan sekitar
Ketoyong dan Kampung Lubuk Salak, Tg. Malim
Pn. Rohaizah binti Abdul Wahid, Penasihat PKP dan AJK Program Sentuhan Kasih Bitara mengunjungi dan menghulurkan bantuan kewangan serta peralatan keperluan kepada asnaf terlibat.

Program ini berjaya menyatukan semangat kebersamaan antara mahasiswa dan masyarakat, selain memberi pendedahan sebenar kepada realiti kehidupan golongan yang memerlukan. Ia turut memupuk kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

Sentuhan Kasih Bitara bukan sekadar nama bahkan ia adalah manifestasi kasih sayang dan empati dalam tindakan. Ia membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi seperti UPSI bukan sahaja medan menimba ilmu, tetapi juga benteng harapan dan agen perubahan kepada masyarakat.

Semoga langkah kecil ini menjadi permulaan kepada lebih banyak program berimpak tinggi yang dapat menyentuh lebih banyak hati dan kehidupan.