Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari dan Dr Kama Shaffeei
Tanjong Malim, 2 Jun – Seramai tujuh orang guru dari Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah diraikan dalam satu majlis sambutan Hari Guru 2025 dengan suasana sederhana namun penuh keceriaan dan penghargaan, baru-baru ini, di sini.
Guru Besar SRSB UPSI, Dr. Kama Shaffeei berkata sambutan Hari Guru tahun ini merupakan sambutan kali kedua selepas sekolah ini mula ditubuhkan pada tahun lalu.
“Sambutan kali ini bukan sekadar mengenang jasa guru, tetapi juga sebagai platform menyuntik semangat baharu dalam kalangan pendidik.
“Guru adalah nadi penggerak pendidikan. Sambutan ini diadakan untuk menghargai setiap titik peluh mereka yang sentiasa berusaha membentuk generasi masa depan yang berkualiti,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar sambutan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih meluas dengan kerjasama erat bersama Parent Support Group (PSG).
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai acara santai yang menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga pendidik dan murid seperti bacaan ikrar guru dan nyanyian lagu ‘Kami Guru Malaysia’, persembahan murid, penyampaian hadiah serta jamuan ringan sebagai penutup tirai acara.
Antara tumpuan utama sambutan tersebut ialah penyampaian penghargaan kepada guru-guru berdasarkan kategori personaliti dan komitmen mereka.
Cikgu Sharifah Nuraini tampil menyerlah apabila menerima tiga pengiktirafan iaitu Anugerah Guru Paling Penyayang, Guru Paling Kreatif, dan Guru Paling Popular sekaligus, mencerminkan keterampilan dan hubungan mesra beliau bersama warga sekolah.
Sementara itu, Guru Besar sekolah meraih Anugerah Guru Paling Bergaya, manakala Guru Paling Tegas dan Guru Paling Ceria diterima oleh Cikgu Nurul Ezzaty.
Ustazah Nur Iman menerima Anugerah Guru Paling Penyabar, Guru Paling Aktif diberikan kepada Cikgu Noor Syahirah, Guru Paling Kelakar ialah Ustaz Muhammad Luqman dan Guru Paling Dedikasi diraih oleh Cikgu Teh Shi Hui.
Dalam pada itu, dua inisiatif pendidikan turut diluncurkan bersempena sambutan tersebut, iaitu Program Kluster 3: Bahasa dan Komunikasi (Bahasa Melayu) dan Program Pendigitilan Pendidikan bersama empat rakan strategik iaitu Apps Book, Pertama Niaga, Kama AI Resources, dan Clevera Sdn. Bhd.



Dr. Kama berkata, penglibatan rakan industri itu memperlihatkan kerjasama holistik antara institusi pendidikan dan sektor industri dalam memajukan ekosistem pembelajaran abad ke-21.
Tambahnya lagi, sambutan Hari Guru 2025 di SRSB bukan sahaja memperingati jasa dan pengorbanan warga pendidik, malah menjadi wadah untuk memupuk semangat muafakat dan memperkukuh budaya penghargaan dalam komuniti sekolah.

