Oleh: Maznah Othman
Tanjong Malim, 18 Jun 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Pusat ICT) menganjurkan satu sesi perkongsian teknologi bertajuk “Tech Update: Smart Campus by Motorola – Avigilon Alta, Cloud-Based Security System” bersempena Bulan Digital UPSI 2025.
Program ini berlangsung di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI dan turut disiarkan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet.
Sesi tersebut disampaikan oleh Encik Chong Jen Huei, wakil daripada syarikat Integrated Choice Sdn. Bhd. yang merupakan rakan teknologi kepada Motorola Solutions Malaysia.
Beliau telah membentangkan konsep sistem keselamatan kampus pintar berasaskan teknologi awan, Avigilon Alta yang menekankan kepada pemantauan keselamatan secara berpusat, pintar dan automatik.

Avigilon Alta merupakan sistem pengurusan video berasaskan awan yang dilengkapi dengan fungsi analitik kecerdasan buatan (AI), carian pintar, pemantauan masa nyata serta integrasi kawalan akses – membolehkan pihak pengurusan kampus memantau keselamatan fizikal secara lebih sistematik dan berkesan dari mana-mana lokasi.
Penganjuran sesi ini adalah selaras dengan matlamat UPSI dalam memperkasa agenda digitalisasi kampus ke arah pembentukan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, pintar dan berdaya saing. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen universiti dalam menyokong transformasi pendidikan digital negara.
Kehadiran peserta yang terdiri daripada staf pentadbiran, pensyarah serta pelajar membuktikan sambutan positif terhadap pengenalan teknologi keselamatan pintar dalam ekosistem kampus.

Selain itu, seramai 107 peserta turut mengikuti sesi ini secara dalam talian, termasuk wakil daripada beberapa agensi luar seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Hospital Bukit Mertajam, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri, dan Perbendaharaan Negeri Kelantan.
Peserta yang menyertai turut layak menerima mata Pembangunan Profesional Berterusan (Continuing Professional Development – CPD), selaras dengan usaha UPSI dalam memupuk budaya pembelajaran berterusan dan celik teknologi dalam kalangan warga universiti.

