Sebahagian daripada peserta bergambar dengan penceramah jemputan di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI

Oleh: Maznah Othman

Tanjong Malim, 19 Jun 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Pusat ICT) bersama syarikat perkhidmatan teknologi maklumat Miderlin Sdn. Bhd. terus melangkah ke hadapan dalam mendepani arus Revolusi Industri 4.0 dengan penganjuran program Tech Talk: AI Empowerment & Cyber Defense, sempena Bulan Digital UPSI 2025.

Program ini berlangsung di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI dan turut disiarkan secara langsung dalam talian melalui aplikasi Google Meet juga platform media sosial TikTok dan Facebook.

Menurut Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, menyatakan bahawa penganjuran program ini merupakan satu inisiatif signifikan oleh UPSI dalam usaha mempertingkat literasi digital serta memperkukuh pemahaman warga kampus dan masyarakat terhadap ancaman siber dan potensi teknologi Kecerdasan Buatan (AI). 

Sejajar dengan aspirasi transformasi digital negara, program ini menampilkan dua trek utama iaitu pembangunan infrastruktur AI dan pertahanan siber berasaskan AI, sebagai antara langkah proaktif UPSI dalam melahirkan warga digital yang bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan. 

Sesi Trek 1 dalam perkongsian AI Infrastructure: Towards A Scalable & Efficient Ecosystem

Trek 1: AI Infrastructure – Towards A Scalable and Efficient Ecosystem

Sesi Trek 1 memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur AI yang berskala, cekap, dan berprestasi tinggi, dengan penekanan terhadap pemprosesan data besar (big data), automasi pintar, dan pengoptimuman pusat data. Empat pakar industri telah berkongsi pandangan mereka berkenaan teknologi dan penyelesaian terkini dalam usaha memperkukuh ekosistem AI masa kini.

Sesi dimulakan oleh Michael Wangsahardja dari Super Micro Computer (M) Sdn. Bhd. Beliau membincangkan keperluan membangun ekosistem AI berskala dan efisien untuk pemprosesan data besar serta automasi pintar. Pembentangan beliau disampaikan secara terus dari Indonesia melalui aplikasi Google Meet.

Seterusnya, Paul Skaria, pakar HPC & AI dari Advanced Micro Devices Global Services (M) Sdn. Bhd (AMD), menghuraikan solusi pemprosesan berprestasi tinggi dan keberkesanan AI dalam analisis data besar serta menyoroti bagaimana AMD menyokong pengkomputeran berprestasi tinggi untuk aplikasi AI.

Diikuti dengan wakil dari Vertiv (M) Sdn. Bhd.,  Mohamed Danial berkongsi penyelesaian lengkap untuk meningkatkan kecekapan operasi pusat data dan sistem kritikal.

Sesi pagi ditutup dengan pembentangan oleh Ariff Nasir dari Ruijie Networks (M) Sdn. Bhd., mengenai kepentingan rangkaian pintar dalam menyokong infrastruktur digital berteraskan AI. Tekanan diberikan kepada aspek kestabilan, keselamatan, dan skalabiliti rangkaian bagi membentuk ekosistem AI yang mampan pada masa depan.

Michael Wangsahardja ketika slot perkongsian yang bersiaran terus dari Indonesia melalui aplikasi Google Meet

TREK 2: AI-Driven Threats and Next-Gen Defense

Perkongsian teknologi ini diteruskan dengan sesi Trek 2 yang berlangsung pada petang. Sesi ini memberi fokus mendalam terhadap ancaman siber yang kian kompleks hasil pemanfaatan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). Dua pakar utama dari Dr. Web, Ltd., sebuah syarikat keselamatan siber terkemuka, telah dijemput sebagai pembicara bagi membincangkan isu ini secara langsung dari Rusia.

Ivan Korolev, Senior Malware Analyst, menyampaikan topik bertajuk “Emerging Threats: AI-Generated Malware”. Beliau mendedahkan bagaimana AI kini dimanfaatkan untuk mencipta perisian hasad secara automatik, yang mampu mengelak daripada dikesan oleh sistem pengesanan tradisional. Ancaman ini menjadi semakin mencabar kerana AI mempunyai keupayaan untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan teknik pertahanan sedia ada.

Sementara itu, Vasiliy Sevostiyanov, Head of Technical Sales Support, membentangkan topik “Dr. Web: Firmly Standing Ground in a World of Emerging Threats”. Beliau menggariskan pendekatan holistik dan inovatif Dr. Web dalam membangunkan pertahanan siber generasi baharu bagi menghadapi cabaran ancaman siber yang didorong oleh AI. Tekanannya diberikan kepada keperluan penyelidikan berterusan serta kemampuan untuk beradaptasi secara pantas dalam ekosistem keselamatan digital yang sentiasa berubah.

Sesi ini berlangsung secara hibrid, dengan Ivan Korolev  menyertai secara maya dari Saint Petersburg, Russia, manakala Vasiliy Sevostiyanov pula dari Moscow.

Penganjuran kali ini berjaya menarik penyertaan lebih daripada 620 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk golongan akademik, kakitangan pentadbiran dan pelajar. Turut serta perwakilan dari agensi kerajaan dan institusi pendidikan seperti Majlis Perbandaran Bentong, Politeknik Sultan Azlan Shah, beberapa hospital termasuk Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Segamat, Jabatan Pendidikan (Wilayah Persekutuan dan Negeri Perak), Jabatan Agama Islam Perak, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). 

Penganjuran ini bukan sahaja memperkasa warga kampus dan masyarakat dengan teknologi semasa, malah membuka ruang kerjasama strategik antara universiti dan industri dalam menghadapi cabaran era digital.