Oleh : Bony Steven 

TANJONG MALIM, 14 Jun 2025 — Persatuan Jalinan Anak Sarawak (JASA) Universiti  Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan program Dialog Inspirasi  Pendidikan Sarawak yang berlangsung di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah,  UPSI. 

Program yang menghimpunkan lebih 150 orang mahasiswa-mahasiswi UPSI itu bertujuan  membuka ruang perbincangan serta perkongsian pandangan berkaitan hala tuju pendidikan  di Sarawak, khususnya dalam memperkasa peranan anak Sarawak di menara gading. 

Program dialog tersebut telah diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Dr. Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, yang turut menyampaikan amanat serta berkongsi inisiatif kerajaan Sarawak dalam  memperkukuhkan sistem pendidikan negeri itu.

Lebih 150 orang mahasiswa-mahasiswi hadir dalam Program Dialog Inspirasi Pendidikan Sarawak
Ucaptama Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Annuar bin Rapaee
Sesi Dialog Awam , Dialog Pendidikan Sarawak : Autoriti dan Transformasi bersama YB Datuk Dr. Haji Annuar bin Rapaee

Dalam ucapannya ketika sesi dialog  berlangsung, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan  pendidikan STEM dengan penubuhan pusat makmal sains di setiap Pejabat Pendidikan  Daerah (PPD) di Sarawak, selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21. 

Turut hadir, Puan Siti Salwa Jamaldin mewakili Naib Canselor UPSI dan Timbalan Naib Canselor HEPA, Dr. Saripah Anak Banseng selaku Penasihat Persatuan JASA, Dorothy Dolly Anthony, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Etnik Sarawak UPSI, serta  Bony Steven, Yang Dipertua Persatuan JASA.

Penyerahan cenderamata oleh Puan Siti Salwa Jamaldin diriingi saudari Dorothy, Dr. Saripah dan saudari Bony kepada YB Datuk Dr. Haji Annuar bin Rapaee
Ucapan Pengarah Program, Bony Steven

Menurut Bony Anak Steven, Dialog Inspirasi Pendidikan Sarawak ini merupakan inisiatif  berterusan Persatuan JASA dalam memperkukuhkan jaringan mahasiswa Sarawak di  perantauan serta menyumbang idea dan cadangan membina kepada pembangunan  pendidikan negeri melalui platform ilmiah dan profesional.

Beliau turut menzahirkan  penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya  Kerajaan Negeri Sarawak dan pihak pengurusan universiti yang sentiasa memberikan  sokongan padu kepada aktiviti pelajar.

Simbolik Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan Anak Sarawak
Sesi soal jawab interaktif antara mahasiswa-mahasiswi UPSI dengan YB Datuk Dr. Annuar Rapaee

Yang Berhormat Datuk Dr. Annuar Rapaee turut menyempurnakan simbolik Inisiatif Bakul  Prihatin Siswa Sarawak yang telah dijalankan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Etnik Sarawak  Sidang, Dorothy Dolly Anthony.

Inisiatif ini bertujuan untuk memberi sokongan  kepada mahasiswa untuk mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi bagi meneruskan  kehidupan di kampus. 

Program turut diserikan dengan sesi soal jawab interaktif antara mahasiswa-mahasiswi dan pensyarah yang hadir dengan Yang Berhormat Datuk Dr. Annuar Rapaee.