Oleh : Bony Steven
TANJONG MALIM, 14 Mei 2025 -Persatuan Jalinan Anak Sarawak (JASA) dengan kerjasama Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) telah berjaya menganjurkan Festival Gawai Kaamatan UPSI 2025 (FesGK 2025) yang bertempat di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah.
Program ini telah disertai seramai lebih 600 orang mahasiswa-mahasiswi UPSI dan jumlah ini nyata sekali melebihi sasaran awal yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
Pengarah program, Bony Anak Steven berkata, penganjuran program ini telah mencapai objektif yang telah dirancang iaitu memberi peluang kepada mahasiswa-mahasiswi Borneo UPSI untuk merayakan perayaan Gawai dan Kaamatan dalam suasana penuh keharmonian di samping mempromosikan warisan budaya negeri Sarawak dan Sabah.



Program ini juga telah membantu dalam mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sedia ada antara mahasiswa-mahasiswi Borneo UPSI sendiri.
Katanya, program ini turut menjadi satu platform yang signifikan untuk membantu mahasiswa-mahasiswa UPSI memahami dan menghargai keunikan budaya serta warisan masyarakat negeri Sarawak dan Sabah sekali gus memupuk rasa hormat terhadap kepelbagaian etnik di Malaysia.
“Melalui penganjuran program ini, pelbagai aktiviti dan pertandingan telah dijalankan. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Pertandingan Sugandoi, Pekit Belagu, Pertandingan Kumang, Keling, Unduk Ngadau dan Mr. Kaamatan.



Program ini diserikan lagi dengan persembahan oleh artis jemputan dari negeri Sarawak dan Sabah iaitu Allesandro Deroma dan Eylia Guntabid.
Peserta turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik daripada kedua-dua persatuan, menampilkan keunikan budaya Sarawak dan Sabah yang memukau.
Selain itu, dua sesi cabutan bertuah turut diadakan, memberikan peluang kepada para hadirin untuk membawa pulang hadiah istimewa sebagai kenang-kenangan.” ujarnya.
Tidak ketinggalan, jualan makanan turut diadakan sepanjang program bagi mengubat rasa rindu terhadap juadah tradisional Sarawak dan Sabah. Antaranya termasuklah kek lapis Sarawak, kuih batang buruk, amplang dan kuih cincin.
Jualan ini telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan pada kedua-dua hari dan membuktikan bahawa makanan tradisional terus mendapat tempat di hati mahasiswa-mahasiswi UPSI.
Majlis perasmian pembukaan FesGK 2025 tersebut telah disempurnakan oleh Penasihat IKSAS, Dr. Nurzaimah Binti Asalal. Manakala, majlis penutupan FesGK 2025 pula telah dirasmikan oleh Dr. Saripah Anak Banseng selaku Penasihat JASA.


Hadir sama, beberapa pensyarah Sarawak dan Sabah dan staf UPSI yang dijemput khas untuk bersama-sama memeriahkan program ini.
Kehadiran mereka bukan sahaja sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran program ini tetapi juga sebagai satu penghormatan terhadap usaha mahasiswa-mahasiswi dalam mengangkat dan melestarikan budaya Borneo di Semenanjung Malaysia khususnya di UPSI.
Festival Gawai Kaamatan UPSI 2025 ini telah meninggalkan impak yang positif dalam hati semua yang terlibat. Sambutan luar biasa yang diterima daripada mahasiswa-mahasiswi UPSI menunjukkan keaktifan mereka dalam menjaga semangat perpaduan dan memelihara warisan budaya.
