Oleh : Jessylyn Norin Anak Sata

PULAU PINANG, 31 Mei 2025 – Persatuan Jalinan Anak Sarawak (JASA) telah menghantar pasukan Sanggar Kenyalang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris berentap di pentas Malam Bumi Kenyalang 2025 anjuran Perkumpulan Anak-anak Sarawak (PERKASA) Universiti Sains Malaysia (USM).

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membuktikan keunggulannya dalam seni persembahan apabila pasukan Sanggar Kenyalang berjaya merangkul Johan Keseluruhan dan beberapa anugerah berprestij lain iaitu Penari Lelaki Terbaik dan Penari Perempuan Terbaik serta Koreografi Terbaik.

Kemenangan ini bukan sahaja satu pencapaian yang cemerlang, tetapi turut melambangkan dedikasi, kerja keras, dan semangat juang yang tinggi dalam mengangkat seni budaya ke tahap yang lebih tinggi. UPSI mencipta sejarah sebagai salah satu institusi yang julung kalinya mempersembahkan sebuah tarian yang penuh bermakna dan simbolik iaitu tarian tradisional daripada suku Penan – Tipun Ame.

Penari Lelaki Terbaik , Joshua Gundi Anak Sirai (Hujung Kiri), Koreografer, Mackenzy Anak Rodza (Kedua Kiri), Penari Perempuan Terbaik, Amyza Anak Ajis (Hujung Kanan)
Koreografer Pasukan Penari Sanggar Kenyalang, Mackenzy Anak Rodza
Pasukan Penari Sanggar Kenyalang yang mempersembahkan tarian Tipun Ame

Koreografer pasukan berkata “Tipun Ame bermaksud Pesta Kami merupakan sebuah garapan seni yang diinspirasikan daripada budaya kesyukuran suku Penan di Ulu Miri iaitu Pati Jemek.

Karya ini menggambarkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan masyarakat Penan. Persembahan ini diiringi oleh lagu rakyat tradisional, Jian Petemeu, yang melambangkan penghormatan kepada alam semesta para tetamu.

Gerak tari yang bertenaga oleh penari lelaki dan wanita mencerminkan cabaran kehidupan seharian masyarakat minoriti ini, sekali gus menjadi asas kepada penciptaan langkah tari yang baharu.

Elemen tradisional Ngitiu Penan diolah semula dengan pendekatan segar dalam bentuk seni persembahan pentas.

Tipun Ame bukan sekadar sebuah tarian, tetapi merupakan manifestasi jiwa dan warisan budaya suku Penan yang diangkat ke pentas moden.”

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Jalinan Anak Sarawak (JASA) UPSI yang telah berusaha tanpa lelah dalam memastikan kelancaran perjalanan pasukan penari dari persiapan awal hingga ke pentas kemenangan, Mackenzy Anak Rodza merangkap koreografer yang penuh kreativiti menghidupkan gerak tari dengan sentuhan seni yang memukau, dan Saudara Mohammad Haqim bin Roslan, pencipta melodi yang menyatu indah dengan setiap langkah tarian serta para penari yang menunjukkan komitmen luar biasa sepanjang sesi latihan.

Pasukan Sanggar Kenyalang yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Persatuan Jalinan Anak Sarawak, Koreografer dan Penari hadir pada Malam Bumi Kenyalang 2025

Dedikasi mereka telah meninggalkan kesan mendalam kepada para penonton dan mengukir kenangan yang sukar dilupakan. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang menyokong secara langsung dan tidak langsung dalam kemenangan ini.

Malam Bumi Kenyalang 2025 menjadi saksi kepada kehebatan UPSI dalam arena seni persembahan, membuktikan bahawa universiti ini bukan sahaja melahirkan pendidikan berkualiti, tetapi juga seniman yang mampu menggegarkan pentas seni tanah air.