OLEH: DR. VESTLY KONG LIANG SOON DAN NUR QISTINA BATRISYIA BINTI MOHD ZAMRI
“Dalam derapan langkah seorang pendidik, bukan hanya ilmu yang dibawa, tetapi cahaya yang menyuluh harapan. Dan di celah wajah-wajah yang semakin dimamah usia, terselit hikmah yang menyentuh jiwa.”
Tanjong Malim – 14 Mei 2025, Program Santun Masyarakat bertemakan “Lantera Harapan Bersama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE)” yang telah dilaksanakan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang bertempat di Kampung Ketoyong telah mencerminkan usaha mahasiswa UPSI dalam menyantuni komuniti, khususnya golongan warga emas. Program yang telah dijalankan ini telah memfokuskan kepada beberapa elemen, antaranya adalah kesihatan, interaksi sosial dan kreativiti melalui pelbagai aktiviti santai dan bermakna yang telah dirancang serta dilaksanakan sendiri oleh mahasiswa. Antara aktiviti yang dijalankan adalah senamrobik, bottle knockdown, bottle flip tic tac toe, Misi tepat lubang, sambunglah sayang, Hello, what’s the colour? dan guess the action word. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, bahkan berjaya merangsang kecerdasan emosi, fizikal dan mental warga emas di PAWE. Ia lebih daripada sekadar hiburan, program ini telah menjadi platform pembelajaran luar bilik darjah yang lebih signifikan buat para mahasiswa. Mereka bukan sahaja dapat mengaplikasikan nilai empati, toleransi dan komunikasi dalam suasana sebenar masyarakat, malah turut menyemai semangat kesukarelawanan dan hormat-menghormati antara generasi. Interaksi yang berlaku sepanjang program ini telah memperkukuh hubungan sosial dua hala yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang.


Dari sudut impak terhadap pelajar, penglibatan dalam projek ini menjadi pengalaman berharga dalam membentuk identiti sebagai seorang guru yang holistik, beretika dan prihatin. Mahasiswa dapat memahami secara lebih mendalam akan realiti kehidupan warga emas, khususnya cabaran yang mereka hadapi seperti keterasingan sosial, keperluan emosi dan ruang untuk didengari. Program ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan sahsiah pelajar agar mereka lebih bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat secara menyeluruh dan bermakna. Selain itu, projek Lantera Harapan ini turut berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan komuniti setempat. Ia membuktikan bahawa pendidikan tidak hanya terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata, malah merangkumi pembangunan kemanusiaan, kesedaran sivik dan tanggungjawab sosial. Inisiatif seperti ini wajar diteruskan demi membina masyarakat yang inklusif, penyayang dan saling menyokong antara satu sama lain, tanpa mengira usia atau latar belakang.


