Oleh: Muhammad Faheem Mohd Dahlan, Anis Azlira Ali, Farhana Fawze & Muhammad Yusuf Othman, Bahagian Sumber Manusia
Tanjong Malim, 13 Jun 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Jerayawara Program Orientasi Sekolah (POS) bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) (Perak, Selangor & Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) (Batang Padang, Muallim, Hulu Selangor, Gombak & Bangsar Pudu) dan Pengetua-Pengetua Sekolah serta Pengarah Kolej Vokasional yang terlibat bagi tahun 2025. Jerayawara ini dilaksanakan adalah bertujuan menerangkan hala tuju pelaksanaan POS ini kepada yang terlibat. Sesi ini telah diadakan di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Pihak UPSI terus komited bagi memperkasakan kualiti pendidikan guru dengan menganjurkan POS sebagai satu inisiatif strategik untuk meningkatkan kefahaman pensyarah baharu terhadap konteks pendidikan sekolah dan memperkukuhkan hubungan kolaboratif bersama institusi pendidikan di sekitar Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program POS yang akan berlangsung ini melibatkan seramai 30 orang pensyarah baharu daripada pelbagai fakulti dan bidang kepakaran yang menjalani program ini secara langsung di beberapa sekolah rintis terpilih. Sekolah yang terlibat keseluruhannya adalah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sebanyak 11 buah sekolah di bawah seliaan JPN Perak dengan melibatkan PPD Daerah Muallim dan PPD Batang Padang.
Manakala 14 buah sekolah di bawah JPN Selangor dengan melibatkan PPD Hulu Selangor dan PPD Gombak. Pelaksanaan tahun ini telah menempatkan seorang pensyarah di Sekolah Seni Malaysia di bawah PPD Bangsar Pudu (Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Program ini memberi peluang kepada pensyarah memahami secara holistik realiti, cabaran, dan amalan pendidikan semasa di sekolah rendah dan menengah.
Menurut Prof. Madya Dr. Normah binti Jusoh, Pengarah Pembangunan Akademik UPSI, POS merupakan platform penting bagi memastikan setiap tenaga akademik UPSI mampu menghasilkan kurikulum yang relevan, berpaksikan pengalaman sebenar, serta membimbing bakal guru secara lebih efektif sejajar dengan slogan UPSI “Peneraju Kebitaraan Pendidikan”.
“POS bukan sahaja mendedahkan pensyarah baharu kepada suasana sebenar bilik darjah, tetapi juga menjadi wahana untuk membina kerjasama berterusan antara universiti dan institusi pendidikan (sekolah), selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya.


Sepanjang program, para pensyarah berpeluang menyertai sesi bimbingan bersama guru pakar, melakukan pemerhatian pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta menjalankan sesi refleksi kendiri bagi memperkukuh kefahaman pedagogi dan amalan profesional guru.
Turut hadir dan menyokong program ini ialah wakil JPN, PPD, Pengetua-Pengetua Sekolah dan Pengarah Kolej Vokasional, yang melihat usaha ini sebagai pemangkin kepada pemindahan ilmu dua hala antara institusi pengajian tinggi dan lapangan pendidikan.
Menurut wakil dari JPN Selangor, Tuan Hairuddin bin Saman telah menyifatkan POS sebagai satu pengalaman yang akan memberi pengalaman kepada pensyarah:
“Pensyarah Baharu UPSI dapat melihat secara dekat bagaimana guru menguruskan bilik darjah, mengaplikasikan teknologi, dan menangani pelbagai keperluan murid menjadikan pihak saya tidak mempunyai halangan kepada UPSI untuk pensyrah baharu ini lebih bersedia dan akan dibimbiang oleh guru di sekolah dengan pendekatan yang lebih realistik dan relevan,” ujarnya.
UPSI merancang untuk menjadikan Program Orientasi Sekolah ini sebagai program tahunan yang wajib bagi semua pensyarah baharu, sekaligus memperkukuhkan budaya akademik yang berteraskan pemahaman lapangan dan jalinan kerjasama strategik.
