Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM, 21 Mei — Seramai 168 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 dalam satu majlis yang berlangsung bagi menghargai kecemerlangan perkhidmatan mereka sepanjang tahun.
Daripada jumlah itu, 107 penerima merupakan staf pentadbiran manakala 61 lagi terdiri daripada warga akademik.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pengiktirafan tersebut adalah tanda penghargaan universiti terhadap sumbangan dan dedikasi tinggi yang ditunjukkan oleh staf dalam pelbagai bidang.
“Anugerah ini merupakan satu usaha UPSI bagi mengetengahkan pencapaian staf ke peringkat kebangsaan seperti Anugerah Kesatuan Pentadbir dan sebagainya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 bertempat di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, baru-baru ini.
Selain APC, sebanyak tujuh staf bukan akademik turut menerima Anugerah Kecemerlangan Staf (AKS) 2024, iaitu satu bentuk pengiktirafan khusus yang diperkenalkan sejak 2014 untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam kalangan staf pentadbiran.
Bagi warga akademik pula, UPSI kini membuka pencalonan bagi Anugerah Akademia Bitara (AKIRA) yang melibatkan 63 anugerah dalam tiga kategori, dengan nilai insentif keseluruhan sebanyak RM147,000.
Menurut Md Amin, semua anugerah yang dianjurkan universiti dinilai secara teliti mengikut keunikan, ketetapan dan kepentingan masing-masing, justeru ia amat dihargai oleh para penerima.
“Saya berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus mengekalkan momentum dan meningkatkan prestasi kerja. Kepada rakan staf yang lain, jadikan ini sebagai inspirasi untuk terus mengejar kecemerlangan.
Kata beliau, perubahan dalam budaya kerja dan perkhidmatan adalah penting, seiring aspirasi UPSI untuk melonjakkan kecemerlangan dari pelbagai aspek termasuk akademik, penyelidikan, inovasi serta pembangunan profesional staf.
“Dalam usaha memperkukuh ekosistem kecemerlangan, universiti turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menyokong pembangunan staf, antaranya latihan berprestasi tinggi dengan peruntukan RM500,000 pada 2025, program sangkutan yang telah melibatkan 17 staf serta peningkatan insentif penyertaan program UPSI Global.
“Inisiatif lain merangkumi peluang kenaikan pangkat menerusi empat trek penilaian, pembangunan profesional berasaskan kompetensi, serta pelbagai geran dalam bidang penyelidikan, inovasi dan penerbitan termasuk Geran Inovasi, Geran Knowledge Transfer Program, serta insentif yuran penerbitan jurnal berindeks Scopus sehingga RM7,500,” ujar beliau.


Sementara itu, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata majlis tersebut merupakan satu bentuk apresiasi khas yang dianjurkan bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan besar warga UPSI.
“Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha Kerajaan mentransformasikan sistem pendidikan negara.
“Setiap satu daripada anda adalah permata yang tinggi nilainya. Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati. Komitmen seperti inilah yang harus dijadikan teladan oleh semua.
Katanya, kejayaan dan keunggulan UPSI pada hari ini tidak mungkin dicapai tanpa penglibatan dan sumbangan kolektif seluruh warganya yang menjadi penggerak utama kepada segala inisiatif pembangunan pendidikan.
“Saya pasti prestasi cemerlang yang ditunjukkan pada tahun lalu mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang dijadikan teras dalam pentadbiran, bersandarkan nilai ‘Bitara’ yang menjadi aspirasi UPSI,” katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Dr. Mohd Izwan Shahril
