Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM, 2 Julai – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan penghargaan terhadap warganya apabila menganjurkan Majlis Tahlil dan Penghargaan kepada semua petugas serta sukarelawan yang terlibat dalam menguruskan insiden nahas kemalangan membabitkan pelajar UPSI di Gerik, baru-baru ini.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, semangat kebersamaan dan keprihatinan tinggi yang ditunjukkan oleh semua petugas merupakan manifestasi nilai murni yang diterapkan dalam ekosistem universiti.
“Warga UPSI membuktikan bahawa apabila berdepan dengan ujian, kita bersatu sebagai satu keluarga besar. Sumbangan dari aspek tenaga, sokongan emosi, logistik dan pengurusan pasca kemalangan ini tidak ternilai dan wajar dikenang sepanjang zaman.
Beliau berkata, universiti amat menghargai pengorbanan semua pihak yang telah bertungkus-lumus membantu sejak hari pertama kejadian sehinggalah proses pengebumian selesai.
“Bagi saya, inilah roh sebenar UPSI, bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, tetapi sebuah komuniti yang hidup dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang. Petugas yang membantu tanpa diminta ini adalah lambang akhlak murni yang tinggi.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis tersebut yang diadakan di di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, baru-baru ini.
Md Amin turut menegaskan bahawa universiti akan terus komited memastikan kebajikan keluarga mangsa terjamin dan diberi perhatian sewajarnya.
“Kita tidak akan melupakan keluarga 15 insan yang telah pergi. Mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar UPSI, dan universiti akan terus bersama mereka dalam apa jua keadaan,” ujar beliau.


Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin menyifatkan tindakan pantas dan profesionalisme petugas UPSI melambangkan kesiapsiagaan institusi dalam menangani krisis secara holistik.
“Kita tidak pernah berlatih untuk menghadapi situasi sebegini, namun komitmen semua yang terlibat jelas menunjukkan keutuhan sistem sokongan di UPSI.
“Mereka ini bukan sekadar membantu secara fizikal, tetapi turut menjadi tonggak sokongan emosi kepada waris dan rakan-rakan mangsa,” ujarnya.


Sementara itu, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman pula menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat antara pelbagai jabatan serta fakulti universiti dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut.
“Daripada urusan pengangkutan, logistik, dokumentasi sehinggalah penyelarasan data pelajar dan waris, semua dilakukan secara teratur dan bersepadu. Ini membuktikan nilai integriti dan profesionalisme warga pentadbiran UPSI yang tinggi,” katanya.
Menurutnya, semua petugas yang terlibat telah memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan pelajar serta waris mangsa terpelihara sepanjang proses pasca kemalangan.
Dalam majlis tersebut, semua petugas dan sukarelawan yang terlibat turut menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh pihak pengurusan universiti dalam majlis berkenaan sebagai tanda penghargaan
Majlis tahlil yang diadakan turut disertai warga universiti bagi mendoakan kesejahteraan roh kesemua mangsa nahas kemalangan bas di Geri.
Terdahulu, pada 9 Jun lalu, kemalangan tragik di Gerik telah mengorbankan 15 pelajar UPSI ketika mereka dalam dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI dari Jerteh, Terengganu terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Tasik Banding.

