Oleh: Joleen Wong Shi Jie

Tanjong Malim, 5 Julai 2025 – Dewan Harun Aminurrashid, UPSI menjadi saksi kepada detik memori apabila berlangsungnya Majlis Penyerahan Tugas kepada barisan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) Sidang 2025/2026 dan Majlis Apresiasi Bersama MMKHAR Sidang 2024/2025, dalam suasana penuh tertib dan harmoni.

Majlis ini dihadiri Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, barisan felo KHAR, MMKHAR Sidang 2024/2025, MMKHAR Sidang 2025/2026, Rakan Exco dan AJK blok bagi meraikan sumbangan dan menyaksikan peralihan tampuk kepimpinan mahasiswa kepada sidang yang baharu.

Antara pengisian utama majlis ini dilaksanakan ialah pembentangan laporan aktiviti dan penjanaan kewangan sepanjang sidang 2024/2025, penyampaian sijil penghargaan, simbolik penyerahan tugas, bacaan ikrar barisan MMKHAR yang baharu, ucapan penghargaan dan juga majlis makan bersama meraikan semua yang hadir.

Sebagai penghargaan rasmi terhadap komitmen dan dedikasi sepanjang Sidang 2024/2025, barisan kepimpinan MMKHAR menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengetua kolej dan dan para felo.

Momen penyerahan ini merupakan simbolik penghargaan pihak kolej kepada MMKHAR yang banyak menyumbang bakti kepada KHAR untuk satu sidang ini.

Majlis turut memberi ruang kepada mereka menzahirkan penghargaan terakhir sebelum secara rasmi menyerahkan amanah kepada barisan tampuk kepimpinan yang baharu.

Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang CASPIA 2024/2025, Iqqwan Jasman Su bin Azlan Su telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran, barisan felo blok kediaman KHAR, MMK dan semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis Penyerahan Tugas dan Majlis Apresiasi pada malam itu.

Beliau turut mengakui cabaran dan kekhilafan yang ditempuhi sepanjang menjalankan amanah, serta memohon maaf atas sebarang kekurangan.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar kedudukan atau kuasa tetapi merupakan satu tanggungjawab besar yang menuntut pengorbanan, kejujuran dan keteladanan. Pemimpin harus menjadi contoh yang baik serta menjaga kebajikan mahasiswa kolej.

Seterusnya, beliau menyerahkan tugas secara rasmi kepada barisan MMKHAR Sidang 2025/2026 dengan keyakinan penuh bahawa mereka mampu menjalankan amanah dengan lebih cemerlang dan memperbaiki segala kelemahan daripada sidang yang lalu.

Beliau menzahirkan harapan agar kepimpinan baharu terus maju dan membawa kecemerlangan kepada kolej sesuai dengan nama No.1 Kolej Kediaman.

Sebagai kemuncak simbolik kepada penyerahan watikah, lafaz ikrar oleh barisan kepimpinan baharu MMKHAR Sidang 2025/2026 bergema megah dalam dewan majlis itu.

Dengan suara yang lantang dan penuh tekad, mereka melafazkan janji taat setia untuk memikul amanah kepimpinan dengan jujur, adil, dan berintegriti yang diketuai oleh Yang DiPertua sidang 2025/2026 iaitu Muhammad Aniq. Ikrar ini bukan sekadar lafaz, tetapi manifestasi iltizam mereka untuk menjadi pemimpin yang berjiwa mahasiswa, menjunjung nilai kebersamaan, dan bersedia berkhidmat demi kebajikan serta pembangunan warga Kolej Harun Aminurrashid.

Muhammad Aniq Daud yang merupakan Yang Dipertua MMKHAR baharu bagi sidang 2025/2026 mengucapkan sekalung penghargaan kepada MMKHAR sidang 2024/2025 atas segala jasa dan masa yang telah dicurahkan sepanjang satu tahun bermula Julai 2024 hingga Julai 2025.

Selain itu, beliau juga turut menyampaikan hasrat agar sidang baharu ini memberikan usaha yang terbaik dalam melonjakkan pencapaian KHAR ke arah yang lebih cemerlang selaras dengan kehendak dan aspirasi pengajian tinggi.

Dengan kesempatan ini, nama baharu untuk MMKHAR Sidang 2025/2026 telah diperkenalkan iaitu ASTRANOVA, yang menggambarkan sebuah visi dan semangat baru yang akan menerajui kepimpinan mahasiswa kolej ini bagi sidang 2025/2026.

ASTRANOVA membawa maksud:

  • Aspiring with strength and teamwork: beraspirasi dengan kekuatan dan kerjasama
  • Rising with responsibility: bangkit dengan penuh tanggungjawab
  • Nurturing opportunity: menyuburkan peluang
  • Embracing vision to achieve greatness: merangkumi visi untuk mencapai kecemerlangan.

Dengan tema yang penuh bersemangat ini, ASTRANOVA bertujuan untuk membawa MMKHAR Sidang 2025/2026 ke tahap yang lebih tinggi, dengan memupuk nilai kepimpinan yang berintegriti, kebersamaan, bersatu hati, berjiwa mahasiswa, dan berorientasikan kecemerlangan.

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, memulakan ucapannya dengan mengucapkan tahniah kepada MMK 2024/2025 atas segala dedikasi dan komitmen yang telah mereka tunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Beberapa kejayaan telah disebut dan segala kekurangan yang dinyatakan perlu ditambahbaik bagi sidang yang baharu agar KHAR lebih banyak mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Pengetua menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar gelaran, tetapi adalah khidmat dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesungguhan.

Menurut beliau, seorang pemimpin bukan sahaja hadir ketika segala-galanya berjalan lancar tetapi mereka juga perlu menjadi yang pertama tampil menghadapi cabaran dan yang terakhir berundur setelah segala tugas selesai.

Kepimpinan yang sebenar adalah tentang memberi dan berkorban demi kesejahteraan orang lain, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

Beliau turut mengucapkan selamat datang kepada MMKHAR Sidang 2025/2026, yang kini mengambil alih kepimpinan. Pengetua mengingatkan mereka bahawa menjadi pemimpin adalah suatu perjalanan yang penuh dengan cabaran dan tanggungjawab yang besar.

Ia bukanlah tugas yang mudah, tetapi dengan kesediaan untuk belajar, bekerjasama, dan terus berusaha, mereka pasti dapat membawa kolej ini menuju kecemerlangan.

Kepimpinan bukan sekadar menjalankan program, tetapi juga membentuk insan yang mampu membawa perubahan positif dalam masyarakat dan dalam diri sendiri.

Pengetua mengakhiri ucapannya dengan harapan agar MMK baharu ini dapat memimpin dengan penuh dedikasi, menghindari kesalahan yang sama seperti sebelumnya, dan membawa kolej ini ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau menegaskan bahawa segala pengalaman yang diperoleh sepanjang menjadi pemimpin akan memberi impak yang besar untuk masa depan mereka.

Akhir kata, Pengetua menyatakan kesediaan untuk terus memberikan sokongan dan bimbingan kepada barisan MMK yang baharu dan mengucapkan terima kasih kepada barisan MMK 2024/2025 atas segala usaha dan sumbangan mereka. Semoga semua pengalaman yang diperoleh dapat dijadikan panduan untuk terus maju.

Wakil felo, Puan Norrulkamari Daud telah menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Penyerahan Tugas dan Apresiasi MMK.

Beliau menyeru bahawa pentingnya membina sebuah keluarga daripada organisasi yang ada, daripada situ belajar erti bekerjasama, tentang pentingnya komunikasi, tentang menerima kelemahan dan kekuatan antara satu sama lain.

Kita meniti perjalanan yang penuh cabaran, kadang kita tersilap, kadang kita terluka, akan tetapi kita bangkit bersama. Itulah kekuatan dalam sebuah organisasi.

Ucapan juga mengiktiraf sumbangan mereka sebagai pengalaman berharga untuk masa akan datang. Tahniah turut diberikan kepada barisan kepimpinan baharu MMKHAR Sidang 2025/2026 dengan keyakinan bahawa mereka mampu meneruskan legasi kepimpinan dengan lebih cemerlang.

Majlis Penyerahan Tugas dan Apresiasi MMKHAR 2025/2026 berlangsung dengan jayanya di Dewan Harun Aminurrashid, UPSI. Majlis ini menandakan peralihan kepimpinan mahasiswa kolej, dengan penghargaan diberikan kepada barisan MMK 2024/2025 atas dedikasi dan usaha mereka dalam menjalankan tugas sepanjang sidang.

Penyerahan sijil penghargaan dan lafaz ikrar oleh kepimpinan MMK baharu mencerminkan komitmen mereka untuk memikul amanah dengan penuh integriti.

Keseluruhannya, majlis ini menekankan kepentingan kepimpinan yang berkhidmat dan bertanggungjawab, dengan fokus pada pengorbanan, kerjasama, dan pembentukan nilai dalam kalangan pemimpin. Majlis ini juga memberi suntikan semangat untuk MMKHAR baharu sidang 2025/2026 agar terus membawa kecemerlangan kepada kolej dan menjadikan pengalaman lalu sebagai panduan untuk kemajuan.