Oleh: Fayyadhatul Alyaa Ahmad Misnun dan Syaibah Shabuddin

SMK St George Taiping, 28 April 2025 – Program NEXTGENPRO: Ilmu dan Kerjaya Masa Depan, hasil kolaborasi strategik bersama Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan SMK St George, Taiping. Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang dengan penyertaan seramai 99 orang pelajar Tingkatan 4 SMK St George.

Objektif utama program ini adalah untuk membantu pelajar membentuk sikap yang lebih berdisiplin dalam pembelajaran dan pengurusan masa, memahami gaya pembelajaran masing-masing serta memperkenalkan teknik pembelajaran dan pengurusan masa yang berkesan. Program ini turut memberi fokus kepada perancangan masa yang bijak, penetapan matlamat pembelajaran, serta penerokaan potensi diri dalam membuat pilihan kerjaya yang lebih tepat dan realistik.

Program dimulakan dengan sesi ceramah motivasi oleh Ahmad Shazwi Ahmad Shukri, Pegawai Tadbir (Kaunseling) yang memberikan pendedahan awal mengenai hala tuju selepas SPM serta maklumat berkaitan universiti awam di Malaysia. Ceramah ini membuka minda para pelajar tentang masa depan sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dan peluang kerjaya yang tersedia.

Seterusnya, slot Teknik Pembelajaran Berkesan telah dikendalikan oleh Noor Syaibah Shabuddin, Penasihat Kelab PRS UPSI. Pelajar dibahagikan kepada kumpulan berdasarkan gaya pembelajaran mereka visual, auditori dan kinestetik yang didedahkan kepada kaedah pembelajaran yang sesuai dengan diri masing-masing. Beberapa pelajar turut tampil berkongsi pengalaman mereka dalam sesi ini.

Slot kedua pula berfokus kepada Teknik Pengurusan Masa Yang Efisien, turut dikendalikan oleh Noor Syaibah. Slot ini memperkenalkan Model 4D (Do, Decide, Delegate, Delete) sebagai panduan dalam menentukan keutamaan dan merancang aktiviti harian secara bijak. Pelajar dibahagikan kepada 10 kumpulan untuk melibatkan diri dalam aktiviti interaktif dan pembelajaran secara kolaboratif dengan fasilitator.

Program diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada Pengetua SMK St George Taiping, Mohd Izam Mohd Ramly serta sesi fotografi bersama para fasilitator, guru pelatih dan murid-murid tingkatan 4.