Majlis perasmian program Mesra Desa oleh Tuan Maruwan Ahmad, Penghulu DUN Sungai Burong, Sekinchan
Oleh: Muhammad Nabil Fahmy & Muhammad Taufiq Hidayat
Kampung Parit 4, Sekinchan, 28 Jun 2025 – Kehangatan kasih sebuah kampung dan semangat gotong-royong desa telah membaluti pengalaman 30 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sepanjang pelaksanaan Program Mesra Desa yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Kampung Parit 4, Sungai Burong, Sekinchan, dari 26 hingga 28 Jun lalu.
Menurut Penasihat Program, Nor Hayati Aziz, program anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) di bawah naungan Pusat Ulul Albab (PUA) UPSI ini dirangka khusus bagi mendekati komuniti luar bandar sambil menyemai nilai-nilai insaniah dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. Pendekatan tinggal bersama keluarga angkat bukan sekadar memberi peluang kepada peserta merasai denyut nadi kehidupan desa, malah memperkukuh jalinan ukhuwwah serta menghayati nilai kebersamaan yang menjadi asas pembentukan insan holistik dan berdaya saing.
Disambut Bagaikan Anak Sendiri, ketibaan peserta disambut mesra oleh penduduk kampung, dengan lapan keluarga angkat tampil sebagai tuan rumah yang sudi menerima peserta sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka. Majlis Perasmian dan Penyerahan Anak Angkat telah berlangsung dalam suasana penuh simbolik, mengukir permulaan manis kepada hubungan yang terbina.

Selepas majlis, peserta dibawa pulang ke kediaman keluarga angkat dan mula menyelami rutin harian mereka, daripada menikmati hidangan tradisional desa hingga menyesuaikan diri dengan budaya tempatan. Malamnya, peserta menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah bersama masyarakat, menyulam spiritualiti dalam bingkai keharmonian komuniti.

Aktiviti Menyatu Hati dan Jiwa, hari kedua bermula seawal Subuh dengan solat berjemaah di masjid, diikuti dengan aktiviti energizer pagi yang menyegarkan. Semangat kebersamaan terus diperkukuh menerusi pelbagai acara sukaneka seperti boling kelapa, membawa bola dalam sudu, mencari gula-gula dalam tepung, dan passing belon menggunakan botol, aktiviti santai namun penuh nilai kerjasama dan integrasi sosial.

Pada sebelah petang, peserta berpecah kepada dua kumpulan: satu menjalankan Modul F2WA di Madrasah Tahfiz Asy-Syakirin yang merangkumi ceramah motivasi dan latihan komunikasi, manakala kumpulan lain bergotong-royong membersih Masjid At-Taufiqiah serta terlibat dalam merewang untuk Majlis Sambutan Awal Muharram.
Malam tersebut diserikan dengan Majlis Sambutan Awal Muharram yang dimulakan dengan solat berjemaah dan diteruskan dengan forum rohani bertajuk “Dari Lalai ke Lillah”. Forum ini mengetengahkan isu hijrah diri dan pembentukan karakter generasi muda, sekali gus menjadi cermin refleksi kepada hadirin untuk terus melangkah menuju kebaikan dan keredaan Ilahi. Forum ini telah menampilkan Alumni Kelab Sahabat Ulul Albab, DMY Fatihah Mohd Nasir dan Pendakwah bebas Da’i Hakim.
Cinta Alam dan Simbol Perpisahan, pada hari terakhir, peserta bersama keluarga angkat menyingsing lengan menyertai aktiviti pembersihan pantai di Pantai Parit 4 sebagai simbol tanggungjawab sosial dan cinta terhadap alam sekitar. Di bawah kempen “Bawa Pulang Sampah Anda”, turut diadakan pertandingan Sampah Terberat dan Vlog Paling Kreatif yang menjadi platform kepada peserta menyampaikan mesej kesedaran alam secara kreatif dan santai.
Program melabuhkan tirai dengan Majlis Penutupan dan Penyerahan Semula Anak Angkatyang berlangsung sekitar jam 3.00 petang. Suasana menjadi syahdu apabila para peserta dan keluarga angkat menyampaikan ucapan perpisahan yang menyentuh hati, menandakan berakhirnya satu episod manis yang membekas di jiwa.
Menjadi Insan Ulul Albab, secara keseluruhannya, Program Mesra Desa ini telah berjaya menjadi wahana pembentukan sahsiah mahasiswa UPSI dalam menyemai nilai insaniah, memperkukuh semangat sukarelawan dan memperkasakan jati diri Ulul Albab. Pengalaman yang autentik ini menjadikan mereka bukan sekadar penuntut ilmu, tetapi insan berjiwa masyarakat yang bersedia menjadi jambatan antara dunia akademik dan realiti kehidupan.
