Oleh: Bazli Razak
TANJUNG MALIM, 11 Julai – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneroka kerjasama strategik bersama HONOR South Pacific dalam usaha memperkukuh pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di institusi itu, sejajar dengan aspirasi nasional memperkasa pendidikan tinggi berasaskan teknologi digital.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kolaborasi tersebut memberi potensi yang dapat dimanfaatkan kedua-dua pihak, khususnya dalam mempercepat pembangunan teknologi AI yang menyokong pembelajaran dan penyelidikan.
“Perbincangan kami memberi tumpuan kepada inisiatif pembangunan teknologi AI secara produktif di UPSI.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka peluang kepada pelbagai inisiatif termasuk pembangunan kurikulum AI, pemerkasaan kompetensi digital warga UPSI, pelaksanaan projek penyelidikan bersama serta penerokaan solusi pintar dalam pengurusan kampus.
“Kita melihat AI bukan sekadar sebagai alat, tetapi sebagai ekosistem yang akan mentransformasi cara kita mengajar, belajar dan mengurus institusi pendidikan tinggi secara menyeluruh.
“Kami yakin, dengan kepakaran dan jaringan teknologi yang dimiliki oleh HONOR, UPSI berpotensi menjadi hab kepada pembangunan penyelidikan AI dalam bidang pendidikan dan kemanusiaan, serta melahirkan graduan yang bersedia untuk cabaran industri masa depan,” ujar beliau.


Sementara itu, Presiden HONOR South Pacific, Justin Li Jeng berkata pihaknya berbesar hati dapat mengadakan perbincangan secara langsung bersama pihak pengurusan UPSI dan menyambut baik potensi kerjasama dalam memperkasakan inovasi teknologi di peringkat pendidikan tinggi.
“Kami melihat UPSI sebagai sebuah universiti yang progresif dan bersedia meneroka bidang baharu dalam teknologi pintar.
Justin turut menzahirkan komitmen HONOR untuk bekerjasama dalam inisiatif penyelidikan bersama, pemindahan teknologi dan program pembangunan kapasiti yang menyokong keperluan semasa institusi pengajian tinggi.
“Kerjasama ini membuka peluang untuk kami menyumbang kepakaran dalam AI, khususnya dalam membangunkan aplikasi dan sistem yang boleh meningkatkan pengalaman pembelajaran dan pengajaran.
“Kami juga percaya bahawa kolaborasi dengan UPSI akan memperkukuh ekosistem inovasi teknologi di rantau ini, sekaligus menyumbang kepada pembinaan bakat digital tempatan yang berkualiti.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin; Pengurus Besar UPSI Holdings Sdn. Bhd, Mohd Effendy Datuk Mohamad Zailani; Dekan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor; Dekan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi UPSI, Prof Madya Dr. Ing Maizatul Hayati Mohd Yatim.

