Oleh: Bazli Razak
TANJUNG MALIM, 11 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu menyampaikan surat penghargaan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atas kerjasama dan keprihatinan luar biasa dalam membantu mangsa nahas kemalangan bas yang melibatkan pelajar universiti itu, baru-baru ini.
Surat penghargaan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, YB Tuan Haji Maliaman Kassim kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam satu kunjungan rasmi ke kampus UPSI di sini.
Maliaman berkata, penghargaan itu adalah tanda terima kasih Kerajaan Negeri Terengganu atas kecekapan, empati dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pihak universiti dalam menguruskan situasi kecemasan membabitkan anak-anak Terengganu yang menuntut di UPSI.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu dan seluruh rakyat negeri ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atas keprihatinan dan kerjasama yang amat bermakna dalam usaha membantu mangsa-mangsa nahas kemalangan bas yang melibatkan para pelajar baru-baru ini.
Menurut beliau, pendekatan pantas dan penuh empati yang ditunjukkan oleh pihak UPSI termasuk penyediaan bantuan kecemasan, sokongan moral serta pengurusan krisis yang cekap dan teratur telah memberikan impak yang sangat besar bukan sahaja kepada para mangsa, malah turut menyentuh hati keluarga mereka.
“Usaha murni ini amat kami hargai dan mencerminkan semangat solidariti, nilai kemanusiaan, serta tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan warga UPSI.
“Usaha tersebut menyerlahkan komitmen UPSI sebagai sebuah institusi yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, tetapi juga keprihatinan terhadap kebajikan pelajarnya,” katanya.
Sementara itu, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas sokongan moral yang diberikan serta pengiktirafan terhadap usaha universiti dalam menjaga kebajikan pelajar.
“Sebagai universiti pendidik utama negara, UPSI sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
“Setiap warga UPSI berperanan dalam memastikan pelajar diberi perhatian sewajarnya, terutamanya dalam saat-saat mencabar,” katanya.


Terdahulu, insiden kemalangan bas yang berlaku pada bulan lalu melibatkan beberapa orang pelajar UPSI yang berasal dari Terengganu ketika dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Hari Raya AidilAdha.
Tragedi itu telah mengorbankan 15 insan muda harapan bangsa, serta mencederakan 27 lagi pelajar yang kini dalam proses penyembuhan.

