Pelajar FMSP dan Pusat Kesihatan Universiti Pelajar FMSP dan Pusat Kesihatan Universiti

Oleh: Dr. Chamil Arkhasa Nikko Mazlan dan Dr. Mazlina Hamzah

TANJONG MALIM, 9 Julai – Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) telah menganjurkan Projek Santun Masyarakat: Muzik & Ketenangan yang melibatkan seramai 37 pelajar Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Muzik bersama staf Pusat Kesihatan Universiti (PKU), hari ini.

Program rentas disiplin berteraskan pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) itu bertujuan memperkenalkan terapi muzik sebagai medium alternatif untuk mengurangkan tekanan kerja, memupuk interaksi sosial serta meningkatkan kesejahteraan emosi dalam kalangan warga kerja PKU.

Pensyarah kursus KPG3013, Dr. Chamil Arkhasa Nikko Mazlan berkata inisiatif berkenaan merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di UPSI dan membuktikan muzik mampu menjadi agen perubahan sosial yang signifikan dalam komuniti kampus.

Sudutan dari aktiviti
 Sudutan dari aktiviti

“Program ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran insaniah dan pedagogi secara langsung, malah ia menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dekan FMSP, Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani serta Ketua Jabatan Muzik dan Pendidikan Muzik, Dr. Mohd Yusran Mohd Yusoff atas sokongan terhadap pelaksanaan projek julung kali itu.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk senamrobik, taklimat “Muzik dan Ketenangan”, permainan irama seperti Rhythm Challenge dan Match the Rhythm, pertandingan muzik kitar semula serta nyanyian lagu rakyat yang membina semangat kebersamaan.

Permainan Match the Rhythm
fasilitator bersiap untuk aktiviti dengan bahan semulajadi

Menurut hasil soal selidik pasca program, majoriti daripada lebih 35 peserta yang terdiri daripada staf Unit Perubatan & Kecemasan, Pergigian, Farmasi, Diagnostik dan Pentadbiran memberikan maklum balas positif, termasuk cadangan supaya program diteruskan serta diperluas pada masa hadapan.

“Program ini sangat menyeronokkan dan memberi kesan positif kepada kesejahteraan emosi kami,” ujar salah seorang peserta.

“Saya belajar teknik baru untuk mengurus tekanan melalui muzik. Ia pengalaman yang unik dan bermanfaat,” tambah seorang lagi.

Demonstrasi dari Fasilitator
Pengarah program Mcmicher Mairon

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen UPSI terhadap Pelan Strategik Universiti, khususnya Teras 6 (Kelestarian dan Kreativiti), serta menyokong matlamat pembangunan lestari (SDG 3 dan SDG 4) menerusi penekanan kepada kesihatan mental dan pendidikan berkualiti.

Projek Santun Masyarakat bukan sahaja menampilkan peranan pelajar sebagai fasilitator dalam situasi sebenar, malah menyerlahkan nilai Bitara UPSI seperti integriti, profesionalisme, keprihatinan dan budaya inovatif yang diterapkan dalam setiap aspek pelaksanaan.