Peserta Bergambar KumpulanPeserta Bergambar Kumpulan

oleh: Arissa Hasya Auni

Kuala Lumpur, 25 Julai 2025 – Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah berkata, empat jurnal UPSI kini dalam radar Pejabat Karang Mengarang (PKM) untuk dihantar bagi mendapatkan pengindeksan Scopus tahun 2025-2026 mengikut jadual penghantaran yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena penutupan Bengkel Semakan Kualiti Jurnal UPSI bagi Persediaan Permohonan Scopus bertempat di Hotel Tamu, Kuala Lumpur yang berlangsung pada 23 Julai 2025 hingga 25 Julai 2025.

“Jurnal-jurnal tersebut termasuklah Asian Journal of Assesssment in Teaching and Learning di bawah Profesor Madya Dr Mohamed Nor Azhari Azman yang dijangka dihantar mendapat pengindeksan scopus pada Ogos 2025” kata Dr Nordiana.

Dr Nordiana ketika memberi ucapan aluan
Dr Ramadhansyah membimbing peserta
Peserta bergambar di akhir bengkel

Tiga lagi jurnal ialah Journal of ICT In Education di bawah Profesor Dr Bahbibi Rahmatullah yang bakal mengemukakan permohonan Scopus pada November 2025 dan dua lagi jurnal iaitu The Asian Journal of English Language and Pedagogy (Profesor Madya Dr Intan Safinas Mohd Ariff Albakri) dan Southeast Asia Early Childhood Journal (Profesor Madya Dr Mazlina Che Mustafa) bakal dikemukakan pada November 2026.

Dalam ucapan pembukaan bengkel pada 23 Julai 2025, Dr Nordiana berkata PKM bersedia membantu setiap jurnal UPSI dari aspek teknikal, editorial, kewangan dan pemberian insentif.

Keperluan ekosistem yang hebat dapat membantu mereka dalam meningkatkan kualiti jurnal. Ini termasuk penganjuran bengkel yang dianjurkan bagi menyemak kualiti jurnal UPSI untuk persediaan permohonan scopus.

Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan), Pejabat Karang Mengarang (PKM), Dr Laili Farhana Md Ibharim berkata mulai 1 Mei 2025, PKM melantik Profesor Madya Dr Ramadhansyah Putra Jaya sebagai Perunding bagi Projek Pengindeksan Berimpak Tinggi Jurnal UPSI.

Sepanjang dua hari bengkel, Dr Ramadhansyah menyumbang kepakaran dan pengetahuannya yang luas dalam pengindeksan berimpak tinggi jurnal di Malaysia. Dr Ramadhansyah merupakan World’s Top 2% Scientist, selain pernah menerima dua pengiktirafan antarabangsa bagi Anugerah Best Editor Award 2025 dan Top Peer Reviewer oleh Web Of Science Group.

Pada sesi akhir bengkel, Dr Laili Farhana bersama Dr Ramadhansyah serta peserta bengkel meyaksikan penghantaran permohonan pengindeksan Directory of Open Access Journals (DOAJ) oleh Profesor Madya Dr Mohamed Nor Azhari Azman, Ketua Editor Asian Journal of Assesssment in Teaching and Learning.

Dr Wan Nuzul dalam slot bengkel
Profesor Bahibi dalam slot bengkel

Menurut Timbalan Pendaftar Kanan PKM yang juga Ketua Seksyen Jurnal, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, bengkel ini dihadiri 18 peserta melibatkan sidang editor dan pasukan Seksyen Jurnal.

“Sesi bimbingan dan penasihatan untuk bengkel ini dibuat secara “hands on” bagi memberi panduan menyeluruh kepada semua peserta bengkel” kata Ahmad.

Selaras dengan pelantikan Dr Ramadhansyah sebagai perunding Projek Pengindeksan Berimpak Tinggi Jurnal UPSI, bengkel ini turut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan pengindeksan berimpak tinggi lain seperti Web Of Science (WOS) sebagai persediaan permohonan jurnal terlibat pada masa akan datang.

“PKM turut menjemput Ketua Editor,Journal Science and Mathematics Letters (JSML), Profesor Madya Dr Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh bagi berkongsi pengalaman kejayaan beliau dalam permohonan Scopus pada tahun 2024” kata Ahmad.

Turut berlangsung ialah perkongsian oleh Profesor Dr Bahbibi Rahmatullah berkaitan keperluan Kecerdasan Buatan atau A.I dalam pengurusan jurnal.

“Penganjuran sesi bengkel lanjutan akan diadakan bagi memantau persediaaan empat jurnal UPSI bersama-sama dengan perunding sehingga permohonan dikemukakan bagi mendapatkan pengindeksan Scopus” tambah Ahmad ketika mengakhiri perbualan.