Oleh: Norhafizza dan Bazli Razak
TANJONG MALIM, 13 Ogos — Kumpulan FMSP Dance Troupe dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila meraih Anugerah Persembahan Terbaik bagi kategori tarian rakyat sempena The 34th International Korean Dance Festival di Daejeon, Korea Selatan, baru-baru ini.
Festival berprestij itu berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos lalu dan disertai kumpulan-kumpulan tari dari pelbagai negara.
FMSP Dance Troupe dianggotai 16 pelajar daripada program Diploma Tari serta Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Tari) Dengan Kepujian.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti keupayaan pelajar UPSI bersaing di peringkat antarabangsa melalui bakat seni dan budaya.
“Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI, malah membawa imej positif negara di mata dunia.
“Ia membuktikan bahawa pelajar kita mampu berdiri setaraf dengan peserta dari negara-negara lain yang mempunyai tradisi seni persembahan yang hebat,” katanya.
Tambah beliau, pencapaian ini seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah dalam bidang sahsiah, bakat dan kemahiran insaniah.
“Pengalaman seperti ini memberi nilai tambah yang sangat besar kepada pembangunan peribadi pelajar.
“Mereka belajar tentang disiplin, kerjasama berpasukan, daya tahan dan kemampuan beradaptasi dalam suasana antarabangsa. Ini semua adalah kualiti yang amat penting dalam kehidupan dan kerjaya mereka kelak.
“Saya mahu melihat lebih ramai pelajar UPSI berani keluar dari zon selesa dan mencuba peluang di peringkat antarabangsa. Pihak universiti sentiasa memberikan sokongan penuh bagi memastikan mereka bersedia dari segi kemahiran, pengetahuan dan keyakinan diri,” ujar beliau.
Selain kejayaan terbaharu ini, kumpulan berkenaan turut pernah meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Naib Johan dan Busana Terbaik dalam Festival Cheonan World Dance (Korea), Anugerah Lelaki Terbaik di International Folklore Festival (Bulgaria), serta Johan Keseluruhan Pertandingan Festival Tari Malaysia bersama Anugerah Penari Terbaik, Busana Terbaik dan Koreografi Terbaik.


Sementara itu, Dekan FMSP, Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani, yang turut mengiringi rombongan itu, berkata pihaknya sentiasa menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran luar bilik darjah bagi membentuk karakter unggul.
“Penglibatan dalam aktiviti sebegini mampu membentuk karakter yang unggul dan memberi peluang kepada pelajar membina jaringan antarabangsa.
“Saya optimis mereka akan terus konsisten dalam program pengantarabangsaan pada masa hadapan kerana mendapat sokongan padu daripada pihak pengurusan UPSI,” katanya.
Sementara itu, Koreografer dan pensyarah pembimbing, Abdul Hamid Chan berkata disiplin tinggi para pelajar menjadi kunci kejayaan di setiap pertandingan yang disertai.
“Alhamdulillah, setakat ini penyertaan kita di festival seperti ini tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Ini adalah berkat usaha pelajar-pelajar sendiri yang sangat tinggi disiplinnya sepanjang persiapan dan latihan untuk datang ke sini (Korea),” katanya.

