Oleh: Dr Norzuraina Mohd Nor
Di balik tirai sejarah Perak, wujud sosok-sosok wanita yang keberanian dan ketekunan mereka menjadi akar kepada warisan bangsa. Malam tadi, keperibadian itu dihidupkan semula di pentas apabila pementasan monodrama eksperimental Serikandi dalam Kantung Budaya di Panggung Tinta Pesona.
Pementasan ini lahir daripada kajian ilmiah pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) dan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan(FSMP) yang diketuai Dr Norzuraina Mohd Nor bersama rakan penyelidik Dr Nor Shuradi Nor Hashim dan Amsalib Pisali dan 3 orang pensyarah lain.
Projek berkenaan mengangkat empat tokoh wanita ulung Perak yang dianggap serikandi dalam bidang masing-masing.
Antaranya Puan Azizah Mohd Yusof, Tokoh Kraf Negara 2018 yang mempertahankan seni halus tekatan benang emas; Hajjah Hawa Ngah Salam, Adiguru Tembikar Pulau Tiga yang mewarisi seni tanah liat; Puteri Limau Purut, legenda politik dalam lipatan hikayat negeri; serta Sybil Kathigasu, jururawat yang dikenang kerana keberanian menentang kekejaman Jepun.



Naratif monolog dipersembahkan oleh pelakon Ayudez Zuraina, Ziehan Abdullah, Amira Daniella dan Syahidatul Munirah yang tampil ringkas tetapi sarat simbolisme melalui bait . bahasa yang puitis dan gerak tubuh ekspresif dalam membangkitkan semangat perjuangan, nostalgia serta renungan tentang peranan wanita dalam melestarikan warisan. Menurut Dr Norzuraina kajian seni tidak wajar terhenti di meja akademik. “Pementasan sebegini memberi nyawa kepada tokoh serikandi agar generasi kini dapat memahami, menghargai dan menjadikannya inspirasidi masa depan,” katanya.
Acara turut disusuli sesi wacana interaktif yang membincangkan kesinambungan warisan wanita Perak dalam konteks kontemporari yang melibatkan soal jawab 2 hala.
Malam kedua persembahan Serikandi dalam Kantung Budaya akan berlangsung pada 4 Oktober, jam 8.30 malam di Panggung Tinta Pesona, UPSI. Orang ramai dijemput hadir menyelami legasi wanita ulung yang mewarnai sejarah negeri Perak.
