Peserta Semarak Siswa Bitara  bersama TDHEPA FSKIK,  Prof. Madya Dr. Yakup Mohd Rafee

Oleh: Lo Yi Wen dan Dr. Nor Syazwani Mat Salleh

Terachi, 4 September 2025 – Program Semarak Siswa Bitara: Merentas Ilmu Tanah Air (SEWATAN) berlangsung pada 2 hingga 4 September lalu dengan penuh meriah bertempat di Balai Raya Kampung Lanjut Manis, Terachi, Negeri Sembilan.

Program ini dianjurkan oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Suku Serilemak Pahang Luak Ulu Muar Negeri Sembilan, Kelab Reka Bentuk dan Warisan (KEREBEWA), Persatuan Seni Visual (PERSENI), Persatuan Integrasi Media (PIM), Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (SEMANIS), Highlands International Boarding School (HIBS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Sesi taklimat daripada Pengarah Program Mohammad Fiqri Madani Anuar menjadi landasan awal yang menyatukan peserta dalam misi pemerkasaan seni, budaya dan masyarakat.

Program ini menghimpunkan seramai 55 peserta terdiri daripada 45 orang mahasiswa UPSI, lima orang mahasiswa UMK serta lima orang pelajar antarabangsa daripada Highlands International Boarding School. Menurut Pengarah Program, Mohammad Fiqri Madani Anuar objektif utama penganjuran adalah untuk meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan seni dan budaya tempatan khususnya Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Beliau turut menegaskan bahawa program ini dirangka bagi memperkukuh hubungan antara komuniti dengan mahasiswa selain mengangkat seni sebagai medium pembelajaran, penghayatan budaya serta wadah penyatuan masyarakat dalam kerangka Malaysia Madani.

Tambah beliau lagi, penekanan turut diberikan terhadap pemeliharaan warisan budaya dan pendidikan seni khususnya di Kuala Pilah yang terkenal dengan Adat Perpatih serta seni bina bersejarah yang mana generasi muda masa kini semakin renggang dengan akar budaya tersebut. Justeru, melalui kolaborasi bersama Suku Seri Lemak Pahang, para peserta diberi peluang untuk mengenali adat dan warisan tempatan secara lebih mendalam sekali gus menyemai rasa cinta dan tanggungjawab dalam memelihara khazanah bangsa.

Kenangan indah tercipta apabila peserta bersama staf UPSI berganding langkah dalam perarakan penuh semangat, menyulam ukhwah dan kebersamaan menuju majlis perasmian  

Menurut Penyelaras Program, Dr. Nor Syazwani Mat Salleh, program semarak SEWATAN ini adalah selari dengan inisiatif utama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui empat teras Semarak Siswa Bitara (SSM) iaitu KPT Prihatin Madani, Students for Society (S4S), Knowledge Transfer Programme @ Komuniti dan TVET @ Komuniti Madani.

Jelas beliau lagi, “Program ini menjadi platform pemerkasaan komuniti dan pendokumentasian warisan melalui seni visual, meliputi pemeliharaan dan pemuliharaan budaya, adat perpatih, kesukarelawan dan khidmat masyarakat.”

Beliau turut menambah bahawa SEWATAN merupakan akronim bagi Semarak Warisan Kuala Pilah yang mencerminkan usaha menggiatkan semula semangat kebudayaan serta memperkukuh elemen pendidikan dan penerokaan ilmu. Melalui pelaksanaan konsep Kampung Angkat di Terachi dan Tanjong Ipoh, mahasiswa bukan sahaja terlibat dalam aktiviti kesukarelawan, kajian lapangan dan bimbingan akademik malah turut didedahkan dengan pembelajaran digital, pertanian moden serta keusahawanan. Manfaat ini bukan sahaja dirasai pelajar tetapi juga komuniti tempatan yang mendapat peluang mengembangkan bakat, hasil kraftangan dan keusahawanan digital sekali gus memastikan kelestarian budaya terus dihargai generasi akan datang.

Titipan kata semangat Dr. Yakup dalam memberi inspirasi buat semua peserta sebelum slot penyerahan anak angkat

Dalam ucapan Prof. Madya Dr. Yakup Mohd Rafee, Penasihat Program, beliau menegaskan bahawa program anak angkat ini bukan sekadar aktiviti jangka pendek tetapi menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan program lain dalam tempoh lima tahun akan datang. Malah, inisiatif ini dirancang sebagai flagship Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) dengan pelbagai pengisian termasuk projek komuniti, program SULAM dan agenda pemerkasaan masyarakat.

Beliau menekankan bahawa pelbagai aktiviti berteraskan adat dan budaya tempatan telah memberi peluang kepada peserta untuk merasai pengalaman autentik sekali gus meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan seni dan budaya Negeri Sembilan. Lebih daripada itu, program ini juga membantu menjana ekonomi setempat melalui promosi kraftangan, makanan tradisional serta eko pelancongan budaya yang berpotensi menarik minat pelancong dalam dan luar negara.

YB Muhammad Sufian menyemarakkan roh kebersamaan yang menjadi pemangkin kepada kejayaan Program SEWATAN di bumi Kuala Pilah

Program SEWATAN telah dirasmikan oleh YB Muhammad Sufian Maradzi, Adun Seri Menanti. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Kuala Pilah bukan sekadar daerah tetapi nadi warisan Negeri Sembilan yang kaya dengan adat perpatih dan seni bina bersejarah. Justeru, penganjuran semarak siswa bitara (SEWATAN) dianggap sebagai langkah penting menghubungkan generasi muda dengan akar budaya bangsa agar warisan bernilai tinggi ini tidak pupus ditelan zaman.

Menurut beliau, konsep Kampung Angkat yang diterapkan dalam program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk tinggal bersama keluarga angkat mengenali adat istiadat serta menyertai bengkel seni tradisi, permainan rakyat, forum ilmiah dan lawatan warisan. Ia bukan sahaja membuka ruang pembelajaran holistik malah turut memberi manfaat kepada masyarakat melalui peluang mengetengahkan kearifan lokal, hasil tangan serta bakat turun-temurun.

Perarakan penuh tradisi oleh peserta dan staf UPSI dalam menjunjung tetamu kehormat ke majlis perasmian Program Semarak Siswa Bitara: Merentas Ilmu Tanah Air (SEWATAN)

Tambahnya lagi, program SEWATAN bukan sahaja mengangkat seni, budaya dan adat perpatih malah turut memperluaskan manfaat kepada komuniti melalui kerjasama dengan pelbagai pihak. Antaranya termasuk penglibatan sekolah sekitar Terachi bagi aktiviti STEM di SK Yamtuan Hitam yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama BRAINET (M) Sdn. Bhd manakala Hospital Kuala Pilah turut menganjurkan kempen derma darah serta Klinik Kesihatan Terachi yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk penduduk setempat. Tidak ketinggalan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut mengetuai aktiviti Strategi Pemasaran yang memberi pendedahan berguna kepada para peserta tentang ilmu pemasaran dalam dunia sebenar

Inisiatif ini secara tidak langsung memperlihatkan bahawa program ini mampu mengukuhkan hubungan antara universiti dengan komuniti sekali gus membuka ruang kepada kerjasama strategik jangka panjang seperti penyelidikan, pembangunan eko pelancongan desa serta usaha memperkenalkan adat perpatih ke peringkat antarabangsa. Penglibatan institusi pengajian tinggi seperti UPSI, UKM, UMK serta Highlands International Boarding School juga membuktikan bahawa seni, ilmu dan budaya berupaya menjadi jambatan integrasi antara pelajar tempatan dan antarabangsa.

Beliau berharap agar pengalaman tiga hari dua malam bersama komuniti Kuala Pilah akan membina hubungan mesra antara peserta dengan masyarakat desa seterusnya melahirkan generasi muda yang lebih menghargai warisan dan mampu mengangkat seni budaya ke persada lebih tinggi pada masa hadapan.