Oleh: Husna Mohd Noor

SHAH ALAM, 15 Ogos 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Antarabangsa, Mobiliti dan Pengembangan Pendidikan (IMAC) menganjurkan Majlis Hi-Tea bersama ejen pengambilan pelajar antarabangsa berdaftar UPSI di DoubleTree by Hilton, Shah Alam i-City.

Program yang menghimpunkan seramai 28 orang ejen daripada pelbagai agensi termasuk Q Study Sdn. Bhd, Eduglobe Malaysia Sdn. Bhd, Qinghai International Services Co. Ltd, Kingda Education, Wansi International Education Sdn. Bhd dan UPSI Holding ini diadakan bagi menghargai sumbangan dan sokongan mereka dalam memperkenalkan UPSI ke peringkat global serta menarik kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti.

Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata UPSI amat berterima kasih atas usaha berterusan ejen dalam membawa pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

“Majlis ini merupakan tanda penghargaan universiti kepada ejen yang banyak membantu memperluas jaringan antarabangsa UPSI.

“Kami berharap agar usaha ini dapat terus diperkasakan demi mencapai sasaran peningkatan bilangan pelajar antarabangsa,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa UPSI sedang dalam usaha menambahbaik kadar insentif kepada ejen sebagai galakan untuk memperhebatkan promosi dan jaringan di luar negara.

Majlis ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform penghargaan, malah membuka ruang perbincangan dua hala dalam menambah baik strategi pemasaran, memperkukuh hubungan kerjasama akademik, serta memperluas peluang kolaborasi antarabangsa.

Wakil-wakil syarikat turut berkongsi pandangan dan cadangan dalam memperkasakan lagi usaha pengambilan pelajar antarabangsa.

Hadir sama Pengarah IMAC UPSI, Profesor Dr. Ramlee Ismail; Timbalan Pengarah IMAC UPSI, Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin, Pengarah Program , Ikmal Redzuan Mohd Isa serta dekan-dekan fakulti dan wakil-wakil pusat tanggungjawab UPSI.