Mohammad Shatar (tengah) bersama-sama warga UPSI yang mengikuti taklimat APEL.M di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.Mohammad Shatar (tengah) bersama-sama warga UPSI yang mengikuti taklimat APEL.M di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 26 Ogos 2025 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpotensi menjadi universiti awam perintis dalam penawaran Accreditation of Prior Experiential Learning for Micro-credentials (APEL.M) selepas menganjurkan Taklimat APEL.M di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, UPSI merupakan universiti awam pertama menjemput beliau menyampaikan taklimat itu dan universiti berkenaan mempunyai kelebihan berbanding institusi lain kerana kepakarannya dalam bidang pendidikan.

“UPSI harus memanfaatkan kepakaran sedia ada untuk mewujudkan kursus micro-credentials dan seterusnya menjadi peneraju dalam penawaran program APEL.M di negara ini,” ujar beliau.

APEL.M atau Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi tujuan Micro-credentials merupakan mekanisme yang membolehkan calon mengumpul micro-credentials daripada kursus yang diikuti secara berasingan sebelum digunakan untuk memenuhi syarat penganugerahan kelayakan akademik.

Bagi merealisasikan penawaran program tersebut, UPSI komited menubuhkan Pusat Penilaian APEL (PPA) APEL.M dan berusaha mempercepatkan proses penubuhannya agar penilaian ke atas calon dapat dijalankan.

Taklimat berkenaan disertai lebih 250 kakitangan universiti yang diberi penerangan mengenai proses pengumpulan micro-credentials, kriteria penilaian serta manfaat yang boleh diperoleh daripada penyertaan dalam program itu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, pula berkata usaha itu sejajar dengan keperluan dunia semasa dalam memperkukuhkan ekosistem pembelajaran yang dinamik, responsif dan mudah diakses.

“Pengajian ini akan membina kapasiti sumber manusia yang adaptif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi UPSI untuk muncul sebagai institusi pendidikan progresif di peringkat antarabangsa.

Mohammad Shatar ketika menyampaikan taklimat APEL.M di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
 
Prof. Dr. Suriani Abu Bakar ketika menyampaikan ucapan aluan sempena program taklimat APEL.M di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Beliau berkata, pelaksanaan APEL.M juga dapat memberi peluang kedua kepada golongan yang mempunyai pengalaman kerja luas tetapi tidak memiliki kelayakan akademik formal untuk terus meningkatkan tahap pendidikan mereka.

“Ini adalah ruang untuk kita mengiktiraf pengalaman terdahulu kakitangan dan individu lain, sekali gus memberi nilai tambah dalam pembangunan kerjaya mereka.

Menurut beliau, inisiatif itu akan memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan sumber manusia UPSI serta menyokong aspirasi negara dalam mewujudkan masyarakat berpengetahuan.

“Dengan adanya micro-credentials, mereka bukan sahaja berpeluang menambah ilmu tetapi juga memperkukuhkan kompetensi profesional,” katanya.

Selain taklimat, turut diadakan promosi program APEL.Q serta kursus micro-credentials yang ditawarkan UPSI, di samping pameran oleh Seksyen Kurikulum, Akreditasi dan Penilaian (KAP) serta Seksyen E-Pembelajaran dan Transformasi Akademik (EPTA), PPA.