Oleh: NOR AIMI NABILA SHAMSULAZMAN

Tanjong Malim, 10 September 2025 – Seramai 23 kontinjen yang terdiri daripada warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta agensi luar berganding bahu memeriahkan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025 yang berlangsung penuh meriah di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah pada pagi yang penuh keberkatan ini.

Perarakan bertemakan “Membangun Ummah Madani” itu menghimpunkan warga UPSI daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) yang mula berkumpul seawall 7.30 pagi dan mula berarak seawal jam 8.30 pagi. Kehadiran mereka bukan sahaja memperlihatkan semangat ukhuwah dan kesatuan, malah menzahirkan rasa kasih sayang, kecintaan serta penghayatan terhadap perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Daripada jumlah penyertaan, empat kontinjen luar turut terlibat yang diwakili Majlis Daerah Tanjong Malim, Masjid Ketoyong Tanjong Malim, Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City (SMKPC) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari (SMK K-Jo).

Majlis sambutan yang dianjurkan oleh Pusat Islam UPSI ini turut disemarakkan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan KESAKTI UPSI.

Selain itu, para hadirin turut beroleh santapan rohani melalui ceramah khas bertajuk “Rasulullah SAW Inspirasi Kepimpinan dan Profesionalisme Ummah” yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Al-Fadhil Ustaz Ahmad Rizam bin Tuan Guru Haji Ghazali, Mudir Madrasah Darul Atiq, Hulu Selangor.

Acara kemuncak sambutan diserikan dengan penyampaian hadiah pertandingan melibatkan tiga kategori utama iaitu Perarakan Terbaik, Sepanduk Terbaik dan Pakaian Terbaik, selain penganugerahan Juara Keseluruhan.

Kategori Sepanduk Terbaik menyaksikan kemenangan Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) yang merangkul johan dengan replika cek bernilai RM1,500. Naib Johan disandang oleh Fakulti Sains dan Matematik (RM1,000), manakala tempat ketiga diraih oleh Portfolio Naib Canselor (RM800).

Kategori Perarakan Terbaik pula dimenangi oleh Portfolio Naib Canselor (RM1,500). Tempat kedua jatuh kepada Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) (RM1,000), manakala Portfolio Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) di tempat ketiga (RM800).

Kategori Pakaian Terbaik dimenangi oleh Fakulti Sains dan Matematik (RM1,500), diikuti Portfolio Naib Canselor di tempat kedua (RM1,000) serta Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Mahasiswa Kolej di tempat ketiga (RM800).

Juara keseluruhan bagi sambutan Maulidur Rasul peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada kali ini dianugerahkan kepada Portfolio Naib Canselor yang membawa pulang replika cek bernilai RM3,000.

Majlis penuh bermakna ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi UPSI, antaranya Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar,Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), En. Helmi Zaifura Abdul Rahman, Pendaftar UPSI, serta Penasihat Undang-Undang UPSI, Puan Salwati binti Mohd Aris.

Dengan iringan selawat dan syair kecintaan, sambutan kali ini bukan sahaja menghidupkan syiar Islam, malah menjadi medan menyemai kasih, memperkukuh silaturrahim dan meneguhkan tekad warga UPSI dalam membina ummah madani yang berilmu, berakhlak dan berwawasan.