Tanjong Malim, 28 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencatat detik bersejarah apabila seramai 4,063 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda ambilan September 2025/2026 mendaftar masuk ke kampus Suluh Budiman yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Seawal jam 7.30 pagi, kawasan pendaftaran telah dibanjiri dengan kehadiran pelajar baharu bersama keluarga yang datang dari seluruh pelusuk negara termasuk dari Sabah dan Sarawak. Bagi sebahagian besar mereka, inilah pengalaman pertama menjejakkan kaki ke bumi Perak, jauh daripada keluarga tetapi dekat dengan cita-cita.

Kemeriahan suasana hari pendaftaran diserikan lagi dengan koordinasi mantap daripada Bahagian Keselamatan UPSI bersama 180 sukarelawan Rakan Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA). Para sukarelawan bukan sahaja mengurus barisan dan dokumen, malah menyambut ibu bapa serta membantu kelancaran proses pendaftaran. Walaupun berhadapan kepanasan cuaca dan keletihan, mereka tetap menunjukkan semangat kental yang mencerminkan jiwa mahasiswa Suluh Budiman.

Hari pendaftaran ini bukan sekadar pintu masuk ke alam universiti, tetapi menjadi simbol permulaan perjalanan ilmu dan harapan baharu buat ribuan mahasiswa yang bakal digilap menjadi pemimpin masa depan bangsa dan negara.

Kemuncak pendaftaran diserikan dengan kehadiran Profesor Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), yang hadir bersama Puan Maskana Ahmad, Timbalan Pendaftar Kanan, barisan Timbalan Hal Ehwal Pelajar, Pengetua Kolej serta pengurusan HEPA. Kehadiran kepimpinan UPSI memberi makna besar bahawa universiti bukan sekadar menerima pelajar baharu sebagai angka, tetapi menyambut mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar UPSI.

Dalam ucapan penuh makna, Prof. Dr. Norkhalid menegaskan bahawa kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi untuk membentuk pendidik dan pemimpin masa depan negara.

“Sebagai bakal pendidik, anda bukan sahaja diukur melalui ilmu dan pencapaian akademik, tetapi juga melalui adab dan akhlak. Itulah cermin sebenar seorang insan. Jadilah Anak Kandung Suluh Budiman yang membawa cahaya, bukan sekadar kepada diri sendiri tetapi juga kepada masyarakat dan negara,” tegas beliau.

Bagi pelajar baharu, perjalanan menuntut ilmu baru sahaja bermula. Bermula 29 hingga 30 September 2025, mereka akan mengikuti Minggu Orientasi yang dirangka khusus untuk memperkenalkan budaya universiti, kehidupan kampus, serta ekosistem akademik UPSI. Program tersebut menjadi ruang membina jaringan persahabatan, memahami identiti universiti, dan menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai mahasiswa.

Hari pendaftaran ini bukan sahaja menandakan kemasukan 4,063 pelajar baharu, tetapi turut memperkukuh legasi universiti keramat ilmu ini. Dari Tanjong Malim, sinar Suluh Budiman kembali menyala, membawa harapan bahawa setiap graduan yang lahir dari UPSI akan menjadi cahaya yang menyinari masa depan bangsa dan negara.