Guru-guru bergambar bersama delegasi Global Educator Award (GEA) 2025 dan Great Teacher Summit (GTS) di hadapan pintu sekolahGuru-guru bergambar bersama delegasi Global Educator Award (GEA) 2025 dan Great Teacher Summit (GTS) di hadapan pintu sekolah

Oleh: Siti Fatimah Mohamed dan Dr. Kama Shaffeei

Tanjong Malim, 2 Oktober 2025 – Sekolah Rendah Seri Budiman telah menerima kunjungan seramai 15 orang delegasi antarabangsa, terdiri daripada finalis Global Educator Award (GEA) 2025 dan Great Teacher Summit (GTS) bersama pegawai dari Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI), Universiti Pendidikan Sultan Idris. Delegasi yang hadir termasuk wakil dari Malaysia, Indonesia, Pakistan dan Rusia.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan pendidikan sekolah rendah serta memperkukuh hubungan kolaborasi antara UPSI dan Sekolah Rendah Seri Budiman.

Sepanjang lawatan, pihak sekolah berbesar hati berkongsi maklumat berkaitan latar belakang, visi, misi, serta pelbagai pencapaian yang telah diraih.

Taklimat ringkas turut disampaikan bagi memberi gambaran menyeluruh tentang usaha berterusan sekolah dalam melahirkan murid yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Delegasi antarabangsa turut diberi peluang meninjau kemudahan yang terdapat di sekolah serta berinteraksi bersama guru dan murid bagi mendapatkan pengalaman yang lebih dekat dengan suasana pendidikan rendah di Malaysia.

Ketibaan delegasi Global Educator Award (GEA) 2025 dan Great Teacher Summit (GTS) bersama pegawai Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI)
Lawatan di dalam bilik guru
Lawatan di sekitar kawasan sekolah

Lawatan ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu, malah membuka ruang untuk memberi inspirasi kepada para finalis antarabangsa Global Educator Award (GEA) 2025.

Melalui perkongsian ini, mereka berpeluang memahami dengan lebih mendalam tentang amalan terbaik pendidikan rendah di Malaysia yang berpotensi dijadikan rujukan di peringkat global.

Secara keseluruhannya, kunjungan ini membuktikan keterbukaan Sekolah Rendah Seri Budiman dalam menjalin hubungan pendidikan bertaraf antarabangsa.

Lawatan bersejarah ini turut melonjakkan nama sekolah di persada global, seiring dengan hasrat untuk melahirkan generasi berilmu yang mampu bersaing pada masa depan.