Oleh: Muhammad Hakimi Mohamad Dorizaki
Tanjong Malim, 2 Oktober 2025 – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program 3A: Adab, Akhlak dan Akademik sempena dengan minggu orientasi bagi ambilan baharu bagi semester 1 sesi 2025/2026 yang telah diadakan di Masjid Al-Mursyidin dan diwajibkan kepada pelajar ambilan baharu sebagai slot orientasi.



Program ini dimulakan dengan slot ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Asyraf Bin Ismail, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Perak. Dalam ceramah beliau, beliau menekankan tentang gejala sosial yang berlaku dalam kalangan mahasiswa merangkumi permulaan, cara dan teknik yang dilakukan serta kesan yang berlaku jika amalan tersebut tidak dibendung.



Slot ini dimantapkan lagi dengan dalil dari al-quran, hadis dan undang-undang yang digunapakai di Malaysia. Program ini turut disempurnakan dengan slot soal jawab bagi meningkatkan kefahaman mahasiswa dan mahasiswi.



Kehadiran Encik Muhammad Tarmizi Bin Abd Rahman, Pengarah Pusat Islam Upsi sebagai tetamu kehormat turut menyerikan program ini. Kehadiran beliau menunjukkan kesungguhan Pusat Islam UPSI dalam mewujudkan program yang bermanfaat kepada mahasiswa merangkumi kepentingan dunia dan akhirat.
Pengisian dalam program ini penting untuk mahasiswa dalam memastikan mahasiswa mempunyai persediaan awal dalam menghadapi suasana di universiti yang bebas serta mengelakkan mahasiswa terlibat dengan gejala yang tidak sihat bagi memastikan mahasiswa serta mahasiswi yang lebih berkualiti dan berguna untuk masyarakat dan negara.
