Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM, 7 Oktober 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Altai State Pedagogical University (ASPU), Rusia, bagi memperkukuh jaringan pendidikan terbuka antarabangsa serta memperluas akses ilmu pengetahuan tanpa sempadan.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganjuran majlis tersebut menandakan permulaan era baharu dalam hubungan pendidikan antara Malaysia dan Rusia melalui penubuhan Pusat Pendidikan Terbuka UPSI-Rusia (UPSI-Russia Centre for Open Education).
“Kerjasama ini bukan sekadar tandatangan atas kertas, tetapi penanaman benih ilmu, hormat-menghormati dan peluang bersama yang akan terus berkembang untuk generasi akan datang. Ia membuktikan bahawa pendidikan tidak seharusnya mempunyai batas geografi,
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis berkenaan di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Menurut beliau, pusat yang diwujudkan hasil kerjasama strategik itu bakal menjadi jambatan ilmu antara Malaysia dan Rusia, menghubungkan warisan pendidikan tempatan dengan tradisi keilmuan Rusia yang tersohor, selain memperkukuh penyelidikan bersama serta pembangunan sumber pendidikan terbuka bertaraf global.
Melalui MoU itu, kedua-dua universiti akan bekerjasama dalam bidang teknologi pendidikan, penciptaan bahan pembelajaran terbuka, serta pertukaran kepakaran akademik dan pelajar, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menekankan pendidikan berkualiti dan inklusif untuk semua.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Festival “Russian Mosaic: From Culture to Language”, yang menampilkan kepelbagaian seni, bahasa, dan budaya Rusia termasuk pameran kraftangan, muzik serta makanan tradisional negara itu.
“Melalui festival ini, kita bukan sahaja mengenali Rusia, tetapi juga menghubungkan hati dan budaya antara dua bangsa. Ia memperkaya kefahaman serta mengukuhkan asas kerjasama akademik yang dibina,” tambah beliau.



Sementara itu, Rektor Altai State Pedagogical University, Kaigorodov Eugenii, berkata MoU yang dimeterai bersama UPSI merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama pendidikan antara Rusia dan Malaysia yang berteraskan inovasi, saling memahami, serta semangat kemanusiaan sejagat.
“Pendidikan ialah jambatan yang menyatukan bangsa dan budaya. Kami percaya melalui Pusat Pendidikan Terbuka ini, pelajar dan penyelidik dari kedua-dua negara akan memperoleh peluang baharu untuk berkongsi ilmu, menjalankan kajian bersama, dan membangunkan sumber pembelajaran digital yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh dunia.
“Kerjasama ini adalah titik permulaan kepada banyak inisiatif bersama pada masa hadapan dalam penyelidikan, pertukaran pelajar dan program kebudayaan,” ujarnya
Hadir sama Setiausaha Utama Kedutaan Rusia, Mariyam Musaeva; Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar; Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman.

