oleh: Puan Nora Liza Abdul Kadir dan Puan Fatina Bakar
TANJONG MALIM, 18 September 2025 – Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Majlis Penutupan Pertandingan B-Inovatif 2025 serta Pelancaran Buku Exploring Malaysia through Short Stories.
Majlis ini merupakan kemuncak kepada Pertandingan Inovasi Bahasa Peringkat Kebangsaan (B-Inovatif 2025) yang berlangsung dari 22 Mei hingga 12 September 2025.
Pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama SKOLAR ini membawa tema “Memacu Transformasi Pendidikan Bahasa Melalui Kreativiti, Teknologi dan Pedagogi Futuristik”.



Ia mempertandingkan dua kategori iaitu Kategori Terbuka/ Pendidik dan Kategori Pelajar/ Mahasiswa, dengan penyertaan sebanyak 72 produk inovasi bagi Kategori Terbuka/Pendidik dan 36 produk inovasi bagi Kategori Pelajar/Mahasiswa – menjadikan keseluruhannya 108 produk inovasi.
Majlis penutupan yang berlangsung secara dalam talian pada jam 9.00 pagi dan disiarkan secara langsung di laman Facebook FBK UPSI dimulakan dengan ucapan aluan oleh Profesor Madya Dr. Mazura@Mastura Muhammad, Dekan FBK.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa penganjuran B-Inovatif 2025 bertujuan menyemarakkan budaya kreativiti dan inovasi dalam pendidikan bahasa serta memperkukuh keberkesanan pedagogi berasaskan teknologi.
Beliau turut menyatakan bahawa program ini menjadi landasan penting dalam membina jaringan profesional serta kolaborasi antara pendidik, pelajar, dan institusi selaras dengan aspirasi UPSI ke arah pendidikan bahasa yang dinamik, futuristik, inklusif, dan berdaya saing melalui kerangka 4P: Pengajaran, Pembelajaran, Penyelidikan dan Perundingan.



Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UPSI, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff yang dalam ucapannya menegaskan bahawa inovasi kini merupakan satu keperluan, bukan lagi pilihan, dalam pendidikan bahasa.
Beliau menyatakan rasa bangga dengan penganjuran edisi sulung B-Inovatif 2025 yang berjaya mengumpul sebanyak 108 penyertaan, mencerminkan kreativiti tinggi warga pendidik dan pelajar dalam mengukuhkan kecemerlangan ilmu serta pendidikan bahasa.
Menurut beliau, generasi masa kini memerlukan bentuk pembelajaran yang mampu menghidupkan minda, mengasah kreativiti, serta melatih keberanian menghadapi cabaran dunia sebenar.
Dalam majlis yang sama, Naib Canselor turut merasmikan pelancaran buku “Exploring Malaysia through Short Stories” yang menghimpunkan karya cerita pendek bertemakan Malaysiana dalam 20 bahasa, termasuk bahasa etnik seperti Semai, Bugis dan Iban, serta bahasa antarabangsa seperti Turkiye, Uzbek dan Korea.
Buku yang diterbitkan hasil kerjasama pensyarah, guru bahasa FBK dan penulis-penulis dari luar ini menyingkap keindahan budaya Malaysia melalui makanan, pakaian, permainan tradisional dan tempat ikonik.
Antara elemen inovatif yang diketengahkan ialah penggunaan kod QR untuk terjemahan, audio teks, serta glosari, menjadikan pengalaman pembelajaran bahasa lebih interaktif dan menyeronokkan.
Pihak AKAR berharap inisiatif ini akan menjadi jambatan untuk memahami, menghayati dan menghargai kepelbagaian budaya Malaysia, sekali gus memupuk minat untuk terus mendalami bahasa dalam konteks global.Buku ini diterbitkan dalam bentuk cetakan fizikal, dan untuk yang berminat mendapatkan buku ini, boleh terus menghubungi Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR) atau Pejabat Karang Mengarang (PKM), UPSI.
Kemuncak majlis adalah pengumuman pemenang Pertandingan B-Inovatif 2025.
- Kategori Terbuka/ Pendidik: 13 Pingat Emas, 33 Pingat Perak, dan 26 Pingat Gangsa.
- Kategori Pelajar/ Mahasiswa: 11 Pingat Emas, 15 Pingat Perak, dan 9 Pingat Gangsa.
Anugerah khas turut disampaikan, iaitu:
- Anugerah Inovasi Terbaik (Kategori Terbuka/Pendidik): Hi-Isy: Hijaiyah Isyarat Learning Kit
- Anugerah Inovasi Terbaik (Kategori Pelajar/Mahasiswa): Melolingo: Aplikasi Sesawang Pembelajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Asing
- Anugerah Inovatif Video Terbaik (Kategori Terbuka/Pendidik): Pocketplay Hanzi
- Anugerah Inovatif Video Terbaik (Kategori Pelajar/Mahasiswa): Escarabic
- Anugerah Inovasi Terbaik Individu: Hayya Nahfaz
Majlis penutupan ini bukan sahaja meraikan kecemerlangan para peserta, malah menandakan langkah penting UPSI dalam mendepani transformasi pendidikan bahasa yang lebih kreatif, berteknologi dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.
Peserta merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur atas peluang yang diberikan serta layanan mesra sepanjang pertandingan.
Ramai menyatakan rasa syukur kerana dapat menyertai pertandingan inovasi buat kali pertama, yang membuka ruang kepada mereka untuk memperoleh banyak ilmu baharu termasuk dalam aspek mencari idea, penulisan abstrak, dan penghasilan produk inovasi.
Mereka turut menzahirkan tahniah kepada semua peserta dan pemenang, serta penghargaan tinggi kepada urusetia yang komited membantu tanpa mengira masa.
Secara keseluruhan, penyertaan ini dianggap pengalaman yang bermanfaat, memberi inspirasi, dan mengukuhkan minat terhadap inovasi dalam bidang bahasa.
Penganjuran B-Inovatif 2025 bukan sekadar meraikan kecemerlangan idea dan kreativiti, malah menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan bahasa yang lebih berdaya saing di era global.
Dengan sokongan padu warga pendidik, pelajar, dan institusi, pertandingan ini telah membuktikan bahawa inovasi mampu melahirkan ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik, inklusif, serta relevan dengan cabaran masa depan.
Justeru, B-Inovatif wajar diteruskan sebagai wadah menyemai benih inovasi, memperkasa profesionalisme pendidik, dan membina generasi pelajar yang kreatif serta berwawasan.
