Dr. Norliza (tiga dari kiri) bergambar ketika menerima Anugerah Akademik Terbaik Bahasa Melayu 2025 yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr Zambry (empat dari kanan) pada Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu di Dewan Za’ba, KPT.Dr. Norliza (tiga dari kiri) bergambar ketika menerima Anugerah Akademik Terbaik Bahasa Melayu 2025 yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr Zambry (empat dari kanan) pada Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu di Dewan Za’ba, KPT.

Oleh: Bazli Razak

PUTRAJAYA, 14 Oktober 2025 – Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Norliza Jamaluddin, diumum sebagai penerima Anugerah Akademik Terbaik Bahasa Melayu 2025.

Beliau membawa pulang cek cura bernilai RM30,000, trofi dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berlangsung di Dewan Za’ba, KPT di sini, hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, berkata kejayaan itu membuktikan komitmen UPSI dalam melahirkan sarjana yang bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Penganugerahan ini adalah satu pengiktirafan besar kepada UPSI sebagai universiti pendidikan terunggul negara.

“Kejayaan Dr. Norliza menjadi inspirasi kepada warga akademia lain untuk terus menghasilkan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi dalam Bahasa Melayu,” ujar beliau.

Dr. Norliza (tengah) bergambar bersama Dr. Suriani (kanan) dan Dr. Mazura (kiri) pada Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu di Dewan Za’ba, KPT.

Sementara itu, Dekan FBK, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad, turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil dedikasi dan usaha berterusan Dr. Norliza dalam memperkasakan bidang linguistik dan pendidikan bahasa.

“Beliau bukan sahaja seorang pendidik yang berwibawa, malah aktif dalam penyelidikan dan penerbitan yang mengangkat martabat Bahasa Melayu di peringkat global.

“Pencapaian ini menyerlahkan keunggulan FBK sebagai pusat kecemerlangan bahasa dan komunikasi,” katanya.

Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu anjuran KPT itu diadakan bagi mengiktiraf tokoh, ahli akademik, penyelidik dan institusi pengajian tinggi yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh serta memartabatkan Bahasa Melayu di persada nasional dan antarabangsa.