Oleh: Muhammad Airul Idham bin Baharin
Tanjong Malim, 27 Oktober 2025 – Forum “Talk To Us” @ UPSI bersama YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, berjaya menghimpunkan lebih 200 mahasiswa Sabah di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bertemakan “Aspirasi Anak Sabah: Pendidikan, Kepimpinan dan Masa Depan Negeri”, program anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) ini menjadi platform dialog santai antara YB Timbalan Menteri dan mahasiswa Sabah.
Forum ini telah menampilkan dua panel utama iaitu Prof. Madya Dr. Julita @ Norjetta binti Taisin, Penasihat IKSAS dan Muhammad Nazhif bin Jaili, Mantan Yang di-Pertua IKSAS 2024/2025. Turut hadir mengiringi ialah Prof Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) serta Puan Hjh. Maskana binti Ahmad, Ketua Timbalan Pendaftar BHEP UPSI.
Dalam amanatnya, YB Datuk Ts. Mustapha menekankan bahawa pendidikan ialah kunci perubahan Sabah, dan mahasiswa perlu menjadi suara harapan, bukan sekadar pengundi. Beliau turut mengingatkan bahawa kepimpinan bermula daripada disiplin dan tindakan kecil yang berterusan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian bantuan RM200 kepada 25 orang pelajar anak Sabah di bawah inisiatif Yayasan Perkasa Siswa, KPT sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pelajar Borneo di Semenanjung.
Forum diakhiri dengan pesanan bermakna YB Timbalan Menteri:
“Kalau bukan kita yang cintakan Sabah, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?”

