Oleh: Muhammad Amirul Irfan Abdul Ghani dan Dr. Nurul Hila Zainuddin
Tanjong Malim, 15 November 2025 – Bengkel Kemahiran Asas Penyelidikan Perpustakaan dan Pencarian Maklumat anjuran Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah berlangsung dengan jayanya.
Bengkel ini merupakan siri program pertama dari Bengkel Projek Penyelidikan Tahun Akhir Jabatan Matematik yang dilaksanakan di Bilik Seminar Jabatan Matematik, Kampus Sultan Azlan Shah.
Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Penyelaras Projek Penyelidikan Tahun Akhir 1, Jabatan Matematik, Dr. Nurul Hila Binti Zainuddin.
Penerapan kemahiran penggunaan sumber perpustakaan ini disampaikan oleh oleh Pustakawan Kanan, En. Nurul Kashfi Bin Subri dan dibantu oleh Pustakawan, Puan Nurul Aishah Binti Mist’ut dari Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI.


Seramai 70 orang pelajar yang terdiri daripada program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik dengan Kepujian, dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan telah menyertai bengkel ini.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk membimbing pelajar dalam mencari sumber rujukan yang tepat dan berkualiti serta memahami kaedah penyelidikan yang sesuai bagi melaksanakan projek tahun akhir para peserta.
Sepanjang bengkel berlangsung, pelajar didedahkan kepada strategi pencarian maklumat yang berkesan, penggunaan pangkalan data akademik, serta kepentingan etika dalam penyelidikan.
Selain itu, pelajar turut diperkenalkan dengan laman web digital universiti (WebOPAC UPSI) iaitu sistem pangkalan data yang membantu pelajar mengakses pelbagai sumber maklumat dan pangkalan data ilmiah seperti jurnal, artikel penyelidikan, tesis, dan bahan rujukan akademik secara dalam talian.
Penerapan kemahiran ini diharapkan dapat membantu pelajar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan digital universiti dalam proses penyelidikan mereka.


Program ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk membina jaringan ilmu bersama rakan seperjuangan dan pakar dalam bidang penyelidikan.
Secara keseluruhannya, bengkel ini diharap dapat memupuk kemahiran penyelidikan kendiri dalam kalangan pelajar, meningkatkan kualiti cadangan projek penyelidikan, serta memberi impak positif terhadap pembangunan akademik dan profesional mereka.
