oleh: Prof Madya Dr. Nor Azlina Hasbullah
TANJUNG MALIM, 25 November 2025 — Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalinkan kerjasama antarabangsa dengan School of Agriculture, Meiji University, Jepun melalui program mobiliti yang berlangsung dari 29 Oktober hingga 12 November lalu.
Lawatan bersemuka selama empat hari ke UPSI itu diketuai Pengarah Advanced Plant Factory Research Center, Professor Dr. Takashi Ikeda bersama sembilan mahasiswa pra dan pascasiswazah.



Program seterusnya diteruskan secara dalam talian melalui siri webinar dan perbincangan akademik melibatkan pensyarah Jabatan Sains Pertanian FTV dan Meiji University.
Program tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan dalam bidang Sains Pertanian serta Pengembangan Pertanian, selain menggalakkan pertukaran ilmu, idea dan kaedah penyelidikan antara Malaysia dan Jepun.



Ia turut membuka ruang kepada mahasiswa kedua-dua universiti mempelajari budaya dan kehidupan kampus masing-masing.
Ketua Jabatan Sains Pertanian, Dr. Fazhana Ismail berkata pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang program, termasuk majlis makan malam bersama pengurusan FTV dan Pengarah Akademik UPSI, Prof Madya Dr. Ridzwan Che Rus yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa.
Program itu turut melibatkan sistem ‘buddy’ antara mahasiswa UPSI dan Meiji University bagi mengeratkan hubungan serta meningkatkan pengalaman silang budaya.



Aktiviti lain termasuk kuliah oleh Prof Dr. Ikeda yang dihadiri lebih 500 mahasiswa, lawatan ke Ladang Pertanian dan Unit Hortikultur FTV, serta kunjungan ke Taman Warisan Pertanian dan Taman Botani Putrajaya.
Selain pembelajaran akademik, delegasi Jepun turut menyertai sukan dan permainan tradisional Malaysia, yang menurut mereka memberikan pengalaman baharu dan menarik sepanjang berada di UPSI.
Kemuncak program adalah pemeteraian Letter of Intent (LOI) antara FTV dan School of Agriculture, Meiji University bagi memperkukuh jaringan kolaborasi strategik.
LOI itu ditandatangani Dekan FTV, Prof Madya Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain dan Prof Dr. Takashi Ikeda mewakili Dekan Meiji University.



FTV berharap kerjasama itu membuka lebih banyak peluang kepada pensyarah dan mahasiswa melibatkan diri dalam program antarabangsa, penyelidikan bersama serta pertukaran akademik yang mampu memperkukuh keupayaan global masing-masing.
Program itu turut memberi impak positif kepada pembangunan kompetensi pelajar, khususnya dalam bidang pertanian moden dan teknologi hijau, selari dengan agenda UPSI memperluas jaringan universiti luar negara.


Pendedahan langsung kepada amalan pertanian Jepun juga membantu mahasiswa memahami inovasi sektor tersebut di negara maju.
Menurut FTV, kerjasama ini seterusnya membuka ruang kepada penyelidikan bersama dalam teknologi tanaman terkawal, penghasilan makanan mapan serta pembangunan komuniti luar bandar, yang merupakan antara bidang keutamaan kedua-dua universiti.
Beberapa cadangan projek penyelidikan bersama juga sedang diteliti bagi pelaksanaan tahun hadapan.


Delegasi Meiji University turut menyatakan komitmen untuk memperluas penglibatan mahasiswa mereka dalam program pertukaran akademik ke UPSI pada masa depan, memandangkan sambutan mesra serta struktur pembelajaran FTV yang dianggap relevan dan selari dengan keperluan global.
Program berkenaan merupakan julung kali dianjurkan FTV dan disifatkan delegasi Meiji University sebagai pengalaman amat bermakna, sekali gus mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun pada masa depan.
