Penyerahan Tabung Soldariti Palestin kepada pihak Sumud FlotillaPenyerahan Tabung Soldariti Palestin kepada pihak Sumud Flotilla

oleh: Hayana Julkepli dan Nur Aliya Asyikin

Tanjong Malim, 18 November 2025 — Sebagai respons terhadap krisis kemanusiaan yang sedang menimpa rakyat Gaza, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dengan kerjasama JHEPA dan Rakan PESKON UPSI telah menganjurkan satu siri program solidariti bertujuan mengumpul dana serta meningkatkan kesedaran masyarakat kampus mengenai situasi yang kian meruncing di wilayah tersebut. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan universiti terhadap usaha kemanusiaan, selain menzahirkan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial bertaraf global.

Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, menyatakan bahawa, “Mahasiswa UPSI bukan hanya dididik untuk menjadi pendidik, tetapi juga insan yang sarat dengan nilai kemanusiaan. Melalui inisiatif solidariti ini, kita membuktikan bahawa generasi muda mampu menggerakkan harapan dan menyuarakan keadilan untuk rakyat Gaza.”

Perarakan solidariti bertemakan Palestin di Padang kawad UPSI
Ucapan oleh Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI
Ucapan Dato’ Dr. Ahmad Sani Araby, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
MAPIM yang turut hadir merasmikan program.

Sementara itu, Dato’ Dr. Ahmad Sani Araby, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAPIM yang hadir merasmikan program tersebut, turut menegaskan bahawa, “Semoga melalui penganjuran program solidariti seumpama ini, lahirnya pembaharuan yang bertitik tolak daripada bumi Muallim.”

Di bawah rangka program ini, turut diadakan sesi penyerahan Tabung Solidariti Palestin kepada pihak Sumud Flotilla, yang akan menyalurkan dana berkenaan bagi membiayai bantuan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan keperluan kecemasan untuk mangsa di Gaza.

Penglibatan artis-artis yang pernah menyertai Global Sumud Flotilla seperti Ardell Aryana, PU Rahmat, Haroqs dan Haikal Abdullah turut menyerikan program sambil memperkuat mesej kemanusiaan dan solidariti. Lebih istimewa, acara ini turut menampilkan persembahan eksklusif daripada Zizi Kirana serta kehadiran istimewa Tuan Musa Nuwayri, yang menambah nilai dakwah dan aspirasi perjuangan ummah.

Secara keseluruhannya, penganjuran program solidariti di UPSI ini bukan sekadar usaha mengumpul dana, tetapi merupakan manifestasi kesedaran sosial dan tanggungjawab mahasiswa sebagai warga dunia. Melalui projek kemanusiaan sebegini, mahasiswa UPSI bukan sahaja diharap dapat “memberi”, tetapi turut “menghayati” penderitaan, cabaran dan harapan rakyat Palestin.

Artis jemputan yang menyertai Global Sumud Flotilla
Penampilan khas Zizi Kirana yang menyertai Global Sumud Flotilla

Penutup program Solidariti UPSI untuk Gaza ini sekali lagi mengukuhkan pendirian UPSI sebagai sebuah universiti yang mendukung nilai pendidikan holistik. UPSI menegaskan bahawa perjuangan untuk kemanusiaan tidak pernah pudar ditelan masa. Solidariti yang ditampilkan mahasiswa hari ini merupakan penyuluh harapan untuk masa depan yang lebih adil, sejahtera dan berperikemanusiaan buat seluruh umat manusia.