Oleh: Dr Fazhana Ismail
TANJONG MALIM 4 Disember 2025– Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Jabatan Sains Pertanian (JSP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) lima tahun bersama Green World Genetics Sdn. Bhd. (GWG) dalam satu majlis tandatangan rasmi baru-baru ini.

Kerjasama ini merangkumi penempatan pelajar Latihan Industri, latihan kepada pensyarah dan kakitangan sokongan, aktiviti penyelidikan bersama, program mobiliti serta penganjuran seminar secara kolaboratif.
Majlis diserikan dengan kehadiran Dekan FTV, Profesor Madya Dr. Muhammad Azlan Muhammad Hussain; Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersilan, Dr. Faizah Abu Kassim; Ketua Program ISM Sains Pertanian Pembangunan Pertanian dengan Pendidikan, Dr. Shafeeqa Shaharuddin, serta para pensyarah dan pegawai sokongan JSP.




Menurut Dekan FTV, kerjasama ini membuka ruang peningkatan kemahiran serta pertukaran kepakaran antara institusi akademik dan industri. GWG diwakili Ketua Stesen merangkap Pengurus R&D, Dr. Cheng Seng Tan bersama empat orang delegasi syarikat.
Dr. Cheng menyatakan pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama dengan universiti awam dan bersedia menerima pelajar latihan industri serta melaksanakan perancangan kolaboratif yang dicadangkan.

Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh kualiti kemenjadian pelajar bidang pertanian serta meningkatkan imej kedua-dua pihak dalam pembangunan penyelidikan dan kepakaran masa hadapan.
