Tanjong Malim, 17 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan Skuad Mahasiswa Prihatin sebagai satu inisiatif sukarelawan pelajar yang bertujuan memperkukuh budaya keprihatinan, kebajikan dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti.
Majlis peluncuran skuad ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, dengan kehadiran barisan Pengurusan Universiti serta wakil pelajar. Penubuhan skuad ini menjadi platform penglibatan aktif mahasiswa dalam membantu pelajar yang memerlukan serta menyokong kesejahteraan komuniti kampus.
Skuad Mahasiswa Prihatin terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Skuad Santun, Skuad Kebajikan dan Skuad Fasiliti, yang masing-masing berperanan dalam menyantuni pelajar, menyalurkan bantuan kebajikan serta membantu aspek kemudahan dan sokongan fasiliti.


Peluncuran ini menandakan komitmen berterusan UPSI dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki nilai empati, kepimpinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi.
