Oleh : Muhammad Airul Idham Baharin
PULAU PINANG, 18 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diwakili oleh Encik Muhammad Airul Idham Baharin, Pegawai Tadbir, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPSI, dalam Bengkel Pemerkasaan Gerakan Pengguna Negeri (GPN) dan Mesyuarat GPN Negeri Perak Bilangan 2 Tahun 2025 yang berlangsung pada 18 hingga 19 Disember 2025 bertempat di Ixora Hotel, Pulau Pinang.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak ini bertujuan meningkatkan pengetahuan konsumerisme dalam kalangan ahli Gerakan Pengguna Negeri (GPN) khususnya berkaitan hak dan tanggungjawab pengguna, aspek keselamatan pengguna serta pendedahan terhadap isu-isu kepenggunaan semasa.


Mesyuarat GPN Bil. 2/2025 telah dipengerusikan oleh Datuk Haji Kamalludin bin Haji Ismail, Pengarah KPDN Negeri Perak dan dihadiri seramai 27 orang wakil daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Penyertaan wakil UPSI dalam program ini mencerminkan komitmen universiti untuk memperkasa Gerakan Pengguna Siswa sebagai platform pendidikan dan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan mahasiswa, sejajar dengan peranan universiti dalam melahirkan graduan berpengetahuan, bertanggungjawab dan peka terhadap isu kos sara hidup.


Melalui penyertaan ini, UPSI berharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama KPDN dan rakan GPN Negeri Perak dalam merangka serta melaksanakan program-program kepenggunaan berimpak tinggi yang melibatkan mahasiswa secara langsung.
UPSI merakamkan penghargaan kepada pihak KPDN Negeri Perak atas penganjuran program yang berimpak ini, sekali gus menyokong usaha berterusan dalam meningkatkan kesedaran dan perlindungan hak pengguna, khususnya dalam kalangan generasi muda dan warga kampus.
