TANJONG MALIM, 14 Disember 2025 – Persatuan Pendidikan Islam (PPI),Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Town Hall PPI bertempat di E-Learning Convention Hall, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) bagi membentangkan perancangan program persatuan sepanjang sidang 2025/2026.

Program anjuran Majlis Tertinggi PPI UPSI dengan kerjasama FSK ini melibatkan penyertaan kira-kira 100 orang mahasiswa dan mahasiswi PPI. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PPI, Muhamad Aidill Adha Zulies.

Penganjuran Town Hall ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada ahli persatuan berhubung agenda serta hala tuju Persatuan Pendidikan Islam, di samping membuka ruang perbincangan dan pertukaran pandangan antara barisan kepimpinan dan ahli persatuan. Usaha ini secara tidak langsung berjaya mengeratkan hubungan serta memperkukuh kesatuan dalam kalangan warga PPI.

Pengisian utama program melibatkan sesi pembentangan perancangan program oleh setiap Exco PPI. Antara program berimpak tinggi yang dibentangkan ialah Karnival Sunnah serta Program Celik Halal ke Universiti di Brunei, yang dilihat berpotensi memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah mahasiswa serta meningkatkan imej UPSI di peringkat antarabangsa.

Selesai sesi pembentangan program, program diteruskan dengan sesi pembentangan usul, isu dan cadangan sebelum diakhiri dengan sesi soal jawab. Dalam sesi tersebut, seorang peserta yang juga mantan Yang Dipertua PPI sidang 2024/2025 telah mengemukakan cadangan agar pihak persatuan memperkukuh pelaksanaan usrah mengikut batch serta memperkemas warta Persatuan Pendidikan Islam supaya dapat diakses oleh seluruh warga PPI. Cadangan berkenaan telah dijawab oleh Exco Modal Insan bersama barisan Majlis Tertinggi PPI, yang menyatakan komitmen persatuan untuk meneliti serta memperhalusi setiap cadangan yang dikemukakan demi penambahbaikan pengurusan dan penyampaian maklumat persatuan.

Penganjuran Town Hall ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh semangat kekeluargaan dan keyakinan terhadap barisan kepimpinan baharu, malah menjadi landasan penting untuk memastikan setiap program PPI dilaksanakan dengan lebih tersusun, berimpak, dan selari dengan keperluan mahasiswa sepanjang sidang 2025/2026. Diharapkan melalui usaha ini, hubungan antara kepimpinan dan mahasiswa akan lebih erat, sejajar dengan visi persatuan untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap aspek pengurusan dan aktiviti.