Oleh:Dr. Wan Nurul Huda Wan Ab Kadir
Bidor, 14 Disember 2025– Program Ecominds@Village, sebuah inisiatif pendidikan berasaskan komuniti, berjaya memupuk kesedaran, pengetahuan dan amalan lestari dalam kalangan masyarakat desa melalui pendekatan pembelajaran kontekstual dan berasaskan pengalaman.
Program yang dilaksanakan oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada Kumpulan Program Guru (KPG) AT11 dengan bimbingan pensyarah kursus Insan Guru Profesional itu mengintegrasikan elemen pendidikan sains, literasi alam sekitar serta pembelajaran tidak formal. Pendekatan ini bertujuan menangani isu-isu alam sekitar setempat seperti pengurusan sisa pepejal, kelestarian sumber dan pemeliharaan alam sekitar.
Komuniti desa sering berdepan pelbagai cabaran alam sekitar, antaranya pengurusan sisa yang tidak sistematik, pembakaran terbuka, pencemaran sungai serta penggunaan sumber secara tidak lestari. Kebanyakan inisiatif yang dilaksanakan pula bersifat jangka pendek dan kurang menekankan pendidikan berterusan. Sehubungan itu, Program Ecominds@Village dirangka sebagai platform pembelajaran holistik dan berterusan yang memberi penekanan kepada pemerkasaan komuniti.
Pelaksanaan program ini turut selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Komuniti Lestari) dan SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim).

Antara pengisian utama program ialah Aktiviti Diorama Ekosistemku, yang menyaksikan para peserta menghasilkan dan mempamerkan diorama ekosistem berbeza seperti hutan hujan tropika, laut dan savana. Aktiviti berasaskan pengalaman dan visual ini berkesan dalam memperkukuh kefahaman peserta terhadap konsep ekosistem, termasuk komponen biotik dan abiotik. Proses pembinaan dan pembentangan diorama turut menggalakkan pembelajaran kolaboratif serta membantu peserta mengaitkan konsep sains dengan persekitaran sebenar.

Program ini turut dimeriahkan dengan Aktiviti Fashion Show Kitar Semula yang melibatkan komuniti Orang Asli Kampung Poh, termasuk kanak-kanak dan golongan dewasa. Peserta menghasilkan pakaian dan aksesori seperti baju serta beg tangan menggunakan bahan kitar semula seperti plastik, kotak dan kertas. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap amalan guna semula dan pengurangan sisa, malah membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.
Bagi golongan pasca belia, Aktiviti Flip Games diperkenalkan sebagai pendekatan pembelajaran interaktif bagi merangsang keupayaan kognitif, khususnya memori jangka pendek dan kecekapan membuat keputusan. Aktiviti berasaskan permainan ini turut menggalakkan interaksi sosial serta mewujudkan suasana pembelajaran yang santai dan menyeronokkan.


Sementara itu, Sesi Kuiz Interaktif bersama warga belia dilaksanakan sebagai aktiviti pengukuhan bagi menilai kefahaman peserta terhadap input yang diterima, khususnya berkaitan amalan gaya hidup sihat. Kaedah soal jawab secara interaktif ini menggalakkan pemikiran kritis serta aplikasi pengetahuan dalam kehidupan seharian.

Program ini juga melibatkan Aktiviti Pembinaan Model Penapis Air bersama komuniti kanak-kanak. Dengan bimbingan pelajar UPSI, peserta didedahkan kepada konsep asas sains berkaitan penapisan air, kebersihan serta kepentingan sumber air bersih. Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini berjaya memupuk minat terhadap sains, di samping meningkatkan kemahiran kerjasama dan penyelesaian masalah.
Secara keseluruhan, Program Ecominds@Village berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran dan amalan lestari komuniti desa melalui pendekatan pendidikan yang holistik dan berasaskan pengalaman. Program ini bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, malah memperkukuh peranan pendidikan sains sebagai pemangkin pembangunan komuniti lestari. Pelaksanaan secara berterusan dan pada skala lebih besar diyakini mampu memberi impak yang lebih signifikan pada masa hadapan.
