TANJONG MALIM, 28 Disember 2025— Seramai lebih 1,800 peserta tempatan dan antarabangsa telah menyertai Muallim Half Marathon 2025 yang berlangsung di Gerbang Suria, Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.
Acara larian yang bermula seawal jam 4.00 pagi itu mempertandingkan tiga kategori utama iaitu 21 kilometer, 10 kilometer dan 5 kilometer, dengan penyertaan pelari dari beberapa negara termasuk Jepun, Thailand, Brunei, Singapura dan Kenya, sekali gus menjadikan acara berkenaan antara program sukan komuniti bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di daerah Muallim.
Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Penasihat Undang-Undang UPSI, Salwati Mohd Aris, bersama Ketua Audit Dalam UPSI, Hanafi Junit dan CEO Absolute Wellness, Mohd Firdaus Mohd Sahir yang turut menandakan permulaan rasmi program tersebut.


Menurut Hanafi, penglibatan Bahagian Audit Dalam (BhAD) dalam penganjuran Muallim Half Marathon 2025 melangkaui peranan konvensional, apabila bahagian itu turut berperanan secara aktif dalam aspek perancangan, penyelarasan tadbir urus dan teknikal serta pemantauan pelaksanaan program yang diketuai oleh Mohd Shahrul Abd Wahid sebagai Pengarah Teknikal acara ini bagi memastikan penganjuran berjalan lancar dan teratur
“Penglibatan BHAD dalam program sangat baik dan berjaya menjadi platform untuk mendekatkan kakitangan BhAD khususnya dan warga universiti dengan komuniti melalui aktiviti berimpak positif,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penglibatan BHAD dalam program berkenaan mencerminkan komitmen universiti untuk mengintegrasikan elemen kesejahteraan warga, penglibatan komuniti dan nilai kerja berpasukan dalam pelaksanaan aktiviti di luar skop tugas harian.
Muallim Half Marathon 2025 dianjurkan hasil kerjasama strategik antara Absolute Wellness, Bahagian Audit Dalam (BHAD) dan Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), dengan sokongan pelbagai pihak penaja. Penganjuran program ini bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, sektor swasta dan komuniti setempat.


Selain itu, menurut CEO Absolute Wellness Mohd Firdaus Mohd Sahir, program ini turut menyumbang kepada usaha mempromosikan UPSI dan daerah Muallim sebagai lokasi berpotensi bagi penganjuran acara sukan berskala besar, sekali gus memberi impak positif kepada imej institusi serta pembangunan sosial masyarakat sekitar.
Acara berkenaan berakhir sekitar jam 10.00 pagi dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori pertandingan, selain penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada peserta yang bertuah

