Oleh: Christina Dilam Tommy 

SUNGAI SIPUT, 17 Disember 2025 – Program STI MADANI: Karnival STEM Tahun 2025 Peringkat Parlimen Sungai Siput telah berjaya menjadi pemangkin utama dalam usaha memperkasa minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini telah melibatkan penyertaan murid daripada 16 buah sekolah yang terlibat dalam siri Jelajah STEM Parlimen Sungai Siput 2025.

Yang Berhormat Tuan Kesavan A/L Subramaniam menyampaikan sijil kepada wakil agensi 
Yang Berhormat Tuan Kesavan A/L Subramaniam bersama beberapa orang pegawai serta wakil institusi melawat setiap reruai pameran 
Panel juri membuat penilaian terhadap projek yang dipamerkan oleh para murid 

Karnival ini turut disertai dengan kehadiran murid-murid dari sekolah menengah sekitar Sungai Siput, tadika serta sekolah-sekolah luar daerah Kuala Kangsar yang hadir bagi menyertai aktiviti pameran dan pembelajaran STEM secara interaktif. 

Karnival ini dianjurkan melalui kolaborasi strategik pelbagai pihak termasuk Ahli Jawatankuasa dari Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), UPSI yang memberikan komitmen sepenuhnya terhadap penganjuran program.

Selain itu, program ini turut mendapat sokongan daripada Pusat Sains Negara yang menampilkan persembahan sains interaktif serta penglibatan pakar akademik dari Kolej Matrikulasi Perak yang menyumbang kepakaran dalam aktiviti dan penjurian.

Antara projek yang dihasilkan oleh Murid 
Antara projek yang dihasilkan oleh Murid 

Sekitar jam 10.00 pagi, Yang Berhormat Tuan Kesavan A/L Subramaniam, Ahli Parlimen Sungai Siput bersama pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta tetamu kehormat telah tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK(T) Ladang Dovenby yang menjadi penganjur bagi karnival STEM pada tahun ini. 

Program ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, Yang Berhormat Tuan Kesavan A/L Subramaniam. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan bidang STEM sebagai asas pembangunan inovasi dan kemajuan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. 

“Program seperti ini sangat penting kerana ia bukan sekadar memberi peluang kepada murid- murid untuk belajar sains dan teknologi tetapi juga dapat melahirkan pakar saintis dan inovator masa depan negara kita. Saya berharap melalui karnival dan aktiviti seperti ini dapat menarik minat murid terhadap STEM akan terus berkembang.” Ujarnya.

Yang Berhormat Tuan Kesavan A/L Subramaniam bergambar bersama dengan para pemenang pertandingan reka cipta dan inovasi sempena Karnival STEM Tahun 2025 
Barisan Fasilitator Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), UPSI yang membantu menjayakan Karnival STEM Tahun 2025 Peringkat Parlimen Sungai Siput 

Sebelum majlis penutup berlangsung, beliau turut meluangkan masa mengunjungi setiap reruai pameran bagi menyantuni para peserta serta menyampaikan Sijil Penghargaan kepada wakil agensi dan institusi yang terlibat. Dalam lawatan tersebut, beliau juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri hasil inovasi dan projek yang dihasilkan oleh murid sekaligus menghargai kreativiti serta usaha mereka. 

Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi menjadi tumpuan utama dalam karnival ini di mana para peserta menunjukkan kreativiti dan bakat mereka dalam penghasilan projek. Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori A, kategori B dan kategori terbuka. Para peserta bukan sahaja berpeluang mempamerkan hasil inovasi masing-masing di reruai pameran malah dapat berinteraksi secara langsung dengan panel juri profesional sebelum keputusan rasmi diumumkan di dewan tertutup. Karnival ini juga turut disertai 7 buah kolej komuniti antara nya ialah Kolej Komuniti Batu Gajah, Kolej Komuniti Chenderoh, Kolej Komuniti Taiping dan 4 buah dari Kolej Komuniti Sungai Siput. 

Seterusnya, Guru Besar SJK(T) Ladang Dovenby, Pn. Rajambal, selaku Pengerusi Jawatankuasa Program Jelajah STEM 2025 dalam ucapan alu-aluan beliau telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. 

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan padu dalam menjayakan Program Jelajah STEM 2025 ini. Komitmen, sumbangan tenaga, masa serta idea daripada barisan pentadbir sekolah, wakil agensi luar dan rakan-rakan kolaborasi amat saya hargai kerana tanpa sokongan semua pihak program ini tidak dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.” Unjarnya 

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah dan cenderahati kepada para pemenang sebagai penghargaan atas penyertaan dan pencapaian mereka sepanjang program berlangsung. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan penutupan oleh Duta Khas Kelab STEM Sungai Siput iaitu Puan Siti Sakinah binti Mohd Yusof yang menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan semangat para peserta serta berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Dengan itu, Program Jelajah STEM 2025 secara rasmi melabuhkan tirai sepenuhnya pada jam 1.00 petang.